KUALA LUMPUR, 21 DIS: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang-Sri Petaling, malam tadi.
Dalam kenyataan hari ini, Prasarana memaklumkan laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Sungai Besi.
“Prasarana sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terlibat.
“Prasarana kesal dengan kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen serta di dalam tren,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan insiden pergaduhan yang berlaku pada 12 tengah malam tadi mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta bahagian pintu dan cermin tingkap tren di platform berkenaan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Insiden berkenaan bagaimanapun berjaya dileraikan pasukan polis bantuan Prasarana yang membawa kumpulan penyokong terlibat keluar dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan bagi mengelakkan situasi lebih merbahaya.
“Sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat selamat dan selesa untuk pengguna.
“Kami juga menyeru kepada pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan yang mengesahkan kejadian tersebut berkata insiden pergaduhan melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah, dan menendang pintu tren hingga menyebabkan kerosakan.
Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Kita mohon mereka yang terlibat tampil untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan pergaduhan dua kumpulan penyokong bola sepak di sebuah stesen LRT.
- BERNAMA