SHAH ALAM, 20 DIS: Program tangkapan ikan bandar raya (pleco) diteruskan pada hujung minggu ini susulan kejayaan siri pertama mengurangkan populasi ikan asing yang diadakan pada September lalu.
EXCO pertanian berkata program memburu ikan pemangsa yang menawarkan insentif RM1 bagi setiap kilogram diadakan setiap Sabtu dan Ahad di anak Sungai Kuyoh, dekat Seri Kembangan, sepanjang Disember.
“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri bagi menjaga kelestarian dan ekosistem di perairan sungai kita dari dijajah ikan asing,” kata Ir Izham Hashim di Facebook.
Sepanjang September lalu, program berkenaan dilaksana di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat. Program julung kali itu mendaratkan 4,467 kilogram ikan dengan membabitkan penyertaan lebih 100 orang.
Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif tangkapan ikan bandar raya sebagai langkah mengurangkan populasi yang menjadi antara penyebab runtuhan tebing sungai dan ban kerana menebuk lubang untuk bertelur.
Pembiakan tidak terkawal ikan berkenaan turut menggugat ekosistem perairan selain menjadi pemangsa ikan tempatan.