PETALING JAYA, 20 DIS: Projek baik pulih jalan dan penyelenggaraan longkang antara tumpuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sepanjang tahun depan.
Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon berkata kerja baik pulih yang turut melibatkan taman permainan dan kutipan sampah itu akan melibatkan kos kutipan cukai baharu berkuat kuasa 1 Januari ini.
“Kita sudah masukkan dalam bajet 2025 berjumlah RM469.1 juta. Kita terima belanjawan tambahan sebanyak RM70 juta susulan kadar cukai baharu.
“Ahli majlis ada buat permohonan dan kita sudah senaraikan. Sekarang kita sedang kenal pasti projek yang mahu didahulukan namun berasaskan longkang, taman permainan, jalan dan sampah,” katanya selepas mesyuarat MBPJ hari ini.
Pada Julai, EXCO kerajaan tempatan mengarah pihak berkuasa tempatan (PBT) menyenaraikan lima projek khidmat awam yang mahu dilaksana dalam tempoh 100 hari selepas cukai tafsiran baharu dikuatkuasakan.
Dato’ Ng Suee Lim berkata inisiatif menunjukkan kesungguhan PBT selepas mengenakan kadar baharu sekali gus membolehkan pembayar cukai mengetahui arah tuju bayaran.
Sementara itu Mohamad Zahri berkata bermula Januari hingga 15 Disember lalu, sebanyak 575 kompaun dikeluarkan berhubung pembuangan sampah.
“Ini termasuk kepada individu dan pemilik premis. Dalam tempoh sama majlis turut menyita empat kenderaan serta dua kes dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.