ad
AGENDA

Jais tahan lapan individu disyaki pengikut ajaran Tuhan Harun

20 Dis 2024, 11:00 AM
Jais tahan lapan individu disyaki pengikut ajaran Tuhan Harun

SHAH ALAM, 20 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan lapan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Tuhan Harun dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, semalam.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata penahanan membabitkan tiga lelaki dan lima wanita itu dibuat hasil risikan serta penemuan beberapa elemen oleh bahagian pengurusan penguatkuasaan Jais.

“Hasil risikan yang dilaksanakan sebelum ini mendapati profil dan modus operandi kumpulan ini mempunyai persamaan dan kaitan rapat dengan ajaran Tuhan Harun, yang sebelum ini aktif di Pahang sekitar 2013.

“Menerusi serbuan yang dilakukan lebih kurang jam 2.30 petang itu, Jais menyita beberapa peranti seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan ajaran tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya semua individu terbabit dibawa ke ibu pejabat Jais untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan orang awam supaya berhati-hati dengan apa juga pandangan atau fahaman yang menyalahi pengetahuan umum umat Islam.

Jika terdapat sebarang maklumat, hubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais di talian 1-800-88-2424.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.