ad
AGENDA

Bekas jururawat didakwa tipu wanita tawar bayi sebagai anak angkat

20 Dis 2024, 8:12 AM
Bekas jururawat didakwa tipu wanita tawar bayi sebagai anak angkat

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Seorang bekas jururawat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita dengan menawarkan bayi untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Mahirah Mohd Yusof, 40, didakwa memperdayakan N Jay Letchumy Naidu, 38, dengan menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat hingga mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM15,950 kepada tertuduh di sebuah premis di Kepong Baru, Sentul di sini antara 20 Jan dan 7 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun hingga maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Faris Ezani yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai tanggungan empat orang anak selain menghidap penyakit diabetes dan anemia.

Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Feb depan untuk sebutan kes.

Peguam Reenajit Kaur Golen hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.