ad
ADN

DUN Seri Serdang tumpu baik pulih infrastruktur sukan awam, Kafa

20 Dis 2024, 8:00 AM
DUN Seri Serdang tumpu baik pulih infrastruktur sukan awam, Kafa

SHAH ALAM, 20 DIS: Usaha membaik pulih kemudahan sukan awam dan infrastruktur Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) antara tumpuan Projek Selangor Penyayang Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, tahun depan.

Wakil rakyatnya Abbas Azmi berkata menerusi peruntukan RM250,000, naik taraf gelanggang sukan akan diberi keutamaan termasuk cadangan menaik taraf menjadi gelanggang pickleball.

“Kita dapati dalam kawasan DUN Seri Serdang ini banyak infrastruktur sukan yang perlu dinaik taraf mengikut peredaran masa ini termasuk untuk kegunaan sukan ekstrem seperti kasut roda dan papan selaju.

“Untuk pickleball yang menjadi fenonemena baharu kepada anak muda kita telah kenal pasti dua tempat untuk dinaik taraf sebagai gelanggang,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Abbas berkata peruntukan itu juga memberi tumpuan kepada menaik taraf infrastruktur Kafa untuk keselesaan pelajar.

“Kafa di kawasan ini perlukan perhatian naik taraf infrastruktur sebab kepadatan penduduk tinggi jadi Kafa yang ada sekarang tidak mampu menampung.

“Sebagai contoh Kafa di Batu 14 keadaan meja dan kerusi sangat daif dan apabila hujan walaupun satu jam air boleh masuk (membanjiri kawasan kelas) dan pelajar terpaksa dicutikan,” katanya.

Abbas turut memaklumkan DUN Seri Serdang akan dilengkapi kemudahan padang bola sintetik yang sudah siap dibina dan dijangka dirasmikan tahun depan hasil sumbangan pihak swasta.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar dilapor berkata acara sukan dan rekreasi dijadikan teras inisiatif dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.

Dalam Belanjawan Selangor 2025 Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menggalakkan perkembangan sukan pickleball.

Amirudin turut menyeru pihak berkuasa tempatan PBT menyedia gelanggang pickleball di taman awam dengan menaik taraf gelanggang badminton sedia ada.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.