SHAH ALAM, 20 DIS: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bersama anak-anak syarikatnya menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam.
Menurut KSSB, ibadat berkenaan dibuat pada Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
“Penyerahan ini merupakan komitmen berterusan KSSB dan anak syarikat dalam memastikan tanggungjawab dipenuhi, serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan ekonomi umat Islam,” katanya di Facebook.
Penyerahan zakat disempurnakan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat KSSB Suhaimi Khalidi dan diterima Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini.
Tahun lalu, KSSB diiktiraf sebagai antara tiga syarikat terbaik di Asia Tenggara bagi Amalan Terbaik dalam Perlombongan Mineral Bukan Logam pada Majlis Anugerah Mineral Asean Ke-3 2023 yang diadakan di Kemboja.
Ditubuhkan pada 2008, syarikat milik Kerajaan Negeri itu bertanggungjawab mengurus pengekstrakan, pengeluaran, pengedaran dan penjualan pasir serta sumber mineral, selain mempromosi operasi perlombongan mampan di Selangor.