ad
BERITA UTAMA

MBDK lantik 50 kontraktor laksana kerja pembersihan, selenggara landskap

20 Dis 2024, 1:00 AM
MBDK lantik 50 kontraktor laksana kerja pembersihan, selenggara landskap

KLANG, 20 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melantik 50 kontraktor bagi melaksanakan kerja pembersihan di semua kawasan termasuk taman permainan pada tahun depan, kata datuk bandarnya.

Dato’ Abd Hamid Hussain berkata kontraktor yang dilantik itu turut menjalankan kerja menaik taraf dan menyelenggara landskap di jalan-jalan utama.

"Selain KDEB Waste Management (KDEBWM) yang melakukan pembersihan, kita juga akan melantik 50 kontraktor bagi membersihkan seluruh Klang.

"Bukan itu sahaja, kita juga akan menyusun semula semua infrastruktur yang tidak diselenggara dengan baik supaya kemudahan tersebut dapat berfungsi dengan baik dan bersih,"katanya.

Ditemui pada Majlis Pelancaran Kalendar Program Pelancongan Dan Kebudayaan MBDK 2025 Dan Bas Hop On Hop Off(Bas Ho Ho) bagi daerah Klang, beliau turut memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan pemilik bangunan bagi tujuan pengindahan.

"MBDK akan berjumpa dengan pemilik yang dilihat bangunannya kurang menarik supaya mereka dapat mengindahkannya dengan mengecat selain membersihkan kawasan sekitar.

"Bukan itu sahaja, kita juga akan meningkatkan aktiviti kemasyarakatan dengan melakukan gotong-royong. Perlu diingat, kebersihan tanggungjawab semua, jika kita bersihkan tetapi masih ada yang buang sampah ia musnahkan segala usaha,"ujarnya.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan dukacita dengan tahap kebersihan Bandaraya Diraja Klang yang masih kotor dan tidak teratur.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah walaupun pembangunan berkembang pesat, masih terdapat kawasan yang kotor termasuk sungai yang teruk tercemar dengan sampah sarap.

Sultan Selangor bertitah Baginda banyak menerima rungutan orang ramai terutama pelancong kapal persiaran yang memasuki Pelabuhan Klang, menyatakan pemandangan di sana dan Klang begitu tercemar dan menjijikkan.

Untuk rekod, Abd Hamid mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Klang yang baharu awal bulan ini menggantikan Datin Paduka Noraini Roslan yang bersara wajib pada November lalu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.