ad
AGENDA

Dua pemancing hilang ditemui selamat di Pulau Pintu Gedong

19 Dis 2024, 3:14 PM
Dua pemancing hilang ditemui selamat di Pulau Pintu Gedong

SHAH ALAM, 19 DIS: Dua lelaki tempatan ditemui selamat selepas dilaporkan hilang ketika keluar memancing di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Pintu Gedong, Selasa lepas.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berkata kedua-dua mereka dijumpai bersama jet ski terbalik pada kedudukan 19.8 batu nautika dari barat Pulau Pintu Gedong pada 3.45 petang hasil maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah.

“Anak kepada salah seorang mangsa memaklumkan bahawa Shahrul Hisham Mohd Tahir, 50, dan Micheal Januarius, 68, keluar memancing (pada 11.30 pagi) dengan menaiki jet ski sebelum dilaporkan hilang.

“Susulan itu, Sub Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 2 pagi, 18 Dis dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Royal Youth Club Selangor,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan selamat tiba pada 8.35 malam semalam.

Abdul Muhaimin berkata mangsa memaklumkan jet ski yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin berikutan tali sauh tersangkut pada bahagian pendesak (impeller).

“Susulan itu, APMM menasihati komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika berada di laut dengan mengambil langkah-langkah keselamatan,” katanya.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.