ad
AGENDA

Program usahawan PKNS beri impak positif, rekod jualan RM331 juta

19 Dis 2024, 2:05 PM
Program usahawan PKNS beri impak positif, rekod jualan RM331 juta
Program usahawan PKNS beri impak positif, rekod jualan RM331 juta

SHAH ALAM, 19 DIS: Inisiatif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperkenalkan empat program keusahawanan memberi impak positif apabila berjaya mencatatkan nilai jualan keseluruhan hampir RM331 juta.

Program melibatkan 194 usahawan, iaitu Program Bina Bangun Usahawan (BizUp), Program Usahawan Siswazah (GROW), Program Usahawan Siswazah Lanjutan (GROW PLUS) serta Program Market Acceleration For Export and Retail Products (MEXPRO) itu berlangsung selama lapan dan 15 bulan bermula antara Mac 2023 hingga November lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Md Kamarzan Md Rais berkata perbadanan itu menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan selaku badan pelaksana sentiasa menyokong dan menyahut dasar yang diperkenalkan kerajaan terutama melibatkan pengukuhan serta pemantapan bidang keusahawanan.

“Melalui program berkenaan, PKNS menyasarkan untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing, mampu merancang dan melaksanakan strategi pemasaran serta jualan yang inovatif di samping meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan.

"Menerusi program itu, peserta akan dibimbing melalui program pembangunan berstruktur yang teratur dan menyeluruh bagi memastikan usahawan mendapat panduan dan sokongan diperlukan untuk berjaya,” katanya ketika berucap pada majlis tamat program itu di sini hari ini.

[caption id="attachment_662207" align="alignnone" width="772"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato' Mahmud Abbas (tengah), Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Ir Md. Kamarzan bin Md Rais ketika melancarkan PKNS Loyalty+ sempena Festival SA Sentral di Shah Alam pada 7 September 2024. Foto PKNS[/caption]

Md Kamarzan berkata BizUp yang memfokuskan kepada usahawan berusia 21 hingga 45 tahun yang disertai 30 peserta telah merekodkan jumlah jualan lebih RM3.224 juta manakala GROW yang mengkhususkan pembangunan usahawan siswazah muda berumur 21 hingga 35 tahun mencatatkan jualan sebanyak RM10.162 juta, kedua-duanya untuk tempoh sepanjang lapan bulan.

Setakat ini katanya, sebanyak 483 peserta telah mengikuti program itu dengan jumlah hasil jualan keseluruhan syarikat dari 2006 hingga kini adalah sebanyak RM65.996 juta.

Beliau berkata GROW PLUS dan MEXPRO pula lebih menjurus kepada memartabatkan dan meningkatkan kualiti usahawan kategori industri kecil dan sederhana ke arah lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Jumlah jualan bagi program GROW PLUS ialah RM47.808 juta manakala MEXPRO pula merekodkan jualan keseluruhan RM270 juta sepanjang 15 bulan pelaksanaan sejak Mac 2024, katanya.

Md Kamarzan berkata PKNS akan terus komited menyediakan platform untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya yang akhirnya menyumbang kembali kepada kemajuan ekonomi negeri serta negara secara keseluruhan.

“Dengan objektif dan dasar yang jelas, perbadanan akan meneruskan inisiatif seumpama ini yang ternyata memberi impak positif dan berkekalan untuk terus membimbing individu berpotensi dengan ilmu keusahawanan yang kukuh,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.