ad
AGENDA

Azizulhasni diyakini kembali berlumba 2025, suntik semangat skuad berbasikal trek

19 Dis 2024, 8:49 AM
Azizulhasni diyakini kembali berlumba 2025, suntik semangat skuad berbasikal trek

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara John Beasley yakin pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 Datuk Mohd Azizulhasni Awang kembali berlumba tahun depan.

Beliau berkata kehadirannya itu akan menjadi suntikan semangat buat skuad berbasikal trek kebangsaan sekiranya The Pocket Rocketman memilih untuk meneruskan karier dalam sukan berkenaan.

"Saya fikir ini sesuatu yang sangat baik. Kami mempunyai perasaan yang mendalam beliau (Mohd Azizulhasni) akan membuat kemunculan semula.

"Tetapi kita hanya perlu memberinya masa untuk menilai apa yang telah berlaku dan kemudian melangkah ke hadapan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju mengekalkan Mohd Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan, tetapi dengan syarat pelumba berusia 36 tahun itu layak ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2025 di Santiago, Chile pada Oktober 2025.

Justeru, MSN memberikan tempoh kepada PKBM hingga 31 Disember ini untuk mengesahkan penyertaan pemenang dua pingat Olimpik itu dalam program podium tahun depan.

Sementara itu, Beasley meluahkan kebimbangannya mengenai pembangunan berbasikal trek di Malaysia, dengan menekankan cabaran dihadapi seperti kekurangan pelumba elit dan kemudahan terhad untuk membangunkan bakat muda.

Beliau berkata situasi ini menjadi lebih buruk selepas acara berbasikal trek tidak disenaraikan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

"Saya diberitahu untuk SUKMA akan datang di Selangor, masih tidak pasti sama ada mereka akan menganjurkan acara berbasikal trek atau tidak.

"Jika tiada acara berbasikal trek di SUKMA, kami tidak mendapat sebarang hasil. Jadi, inilah sistem yang kita terpaksa hadapi," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.