ad
AGENDA

288,000 ahli KWSP carum lebih 11 peratus, sejuta lagi daftar caruman sukarela

19 Dis 2024, 4:46 AM
288,000 ahli KWSP carum lebih 11 peratus, sejuta lagi daftar caruman sukarela

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Seramai 288,000 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendaftar untuk membuat caruman pekerja melebihi kadar berkanun 11 peratus setakat Oktober 2024.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata pencarum juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa secara sukarela untuk menambah simpanan, tertakluk kepada had tahunan RM100,000 setahun mulai 1 Jun 2023.

Beliau berkata sejuta pencarum KWSP telah membuat caruman sukarela setakat 31 Oktober lalu berjumlah RM11.16 bilion.

"Caruman sukarela ini boleh dibuat pada bila-bila masa melalui aplikasi mudah alih, perbankan Internet, ejen kaunter bank serta kaunter KWSP," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roderick Wong Siew Lead mengenai inisiatif diambil KWSP bagi membantu pencarum meningkatkan caruman persaraan mereka.

Lim berkata kerajaan juga menerusi program iSaraan memberi caruman padanan sehingga RM500 setahun tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi seorang individu.

Bagi golongan muda katanya, KWSP membenarkan individu berdaftar dan mencarum secara sukarela seawal usia 14 tahun bagi menggalakkan golongan itu membuat simpanan awal selain memupuk kesedaran kepentingan simpanan jangka panjang serta memanfaatkan gandaan dividen.

“Kerajaan juga memberikan insentif caruman padanan 50 peratus bagi setiap ringgit yang dicarumkan ke dalam skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada 13.1 juta ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksible KWSP (Akaun 3) dengan jumlah perpindahan simpanan RM14.5 bilion.

Setakat 27 November 2024, ahli yang membuat pengeluaran melalui Akaun 3 mencecah empat juta orang atau 30.5 peratus daripada keseluruhan ahli di bawah umur 55 tahun dengan jumlah pengeluaran RM11.6 bilion.

Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun 3 pula adalah RM7.4 bilion setakat November 2024, kata Lim.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.