Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tunjang dalam membangunkan perpustakaan baharu yang menjadi sumber pengetahuan segenap lapisan rakyat.
Meski pentadbiran negeri ketika itu mahu membina monumen Selangor Maju 2005 sebagai mercu tanda, Baginda memilih menyediakan perpustakaan enam tingkat seluas 203,600 kaki persegi.
Tapak lokasi dikelilingi tasik di Seksyen 13, Shah Alam dirasmikan pada 27 Ogos 2005 sempena pengisytiharan Selangor Maju 2005. Pustaka Raja Tun Uda dibuka kepada umum pada 22 Julai 2011.
Menurut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad, pemilihan lokasi dan konsep perpustakaan dalam taman juga hasil cetusan ilham Tuanku.
"Baginda dapat idea konsep perpustakaan dalam taman apabila melihat Pustaka Negeri Sarawak di Kuching yang berhadapan tasik. Pemandangan yang memberi ketenangan inilah gambaran diberi Baginda untuk bangunan baharu sebagai hadiah kepada rakyat," katanya baru-baru ini.
[caption id="attachment_667014" align="alignleft" width="500"] Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad bercakap kepada Media Selangor selepas majlis Perasmian Ferdowsi's Shahnameh: A Literary Masterpiece Exhibition & Movie Screening di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 7 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
llham Tuanku itu membawa kesan positif berikutan kunjungan orang ramai ke Pustaka Raja Tun Uda meningkat mendadak berbanding operasi di bangunan lama di Seksyen 14 Shah Alam.
Hanya 418,802 orang berkunjung ke lokasi lama antara 2008 hingga 2010 berbanding 1.5 juta orang dari 22 Julai 2011 hingga 2013 dalam masa dua tahun enam bulan. Setakat September 2024, Pustaka Raja Tun Uda dikunjungi 9,161,813 orang.
Sultan Sharafuddin juga mengambil berat perkembangan perpustakaan itu sejak proses pembinaan hingga kini. Baginda juga banyak menyumbang buku dan lukisan bermutu tinggi untuk disimpan di situ.
Koleksi buku
Setakat kini, kira-kira 2,800 naskhah, sesetengahnya edisi terhad, dan 90 lukisan hasil sumbangan Baginda. Tuanku cenderung kepada buku biografi tokoh dunia dalam pelbagai bidang.
Tokoh itu antaranya Steve Jobs, Margaret Thatcher, Oppenheimer, Muhammad Ali, Einstein, Oprah Winfrey, Stephen Hawking, Saladin (Salahuddin Al-Ayubi) dan Nelson Mandela. Koleksi sumbangan Baginda juga tertumpu kepada buku sejarah dunia dan berkaitan Kepulauan Melayu.
Sultan Selangor juga menyumbang set khas mushaf al-Quran terbitan Yayasan Restu, sembilan jilid Tafsir Al-Azhar karya Prof Dr Hamka, lapan jilid Terjemahan Sahih Al-Bukhari dan edisi buku Sun Tzu's The Art of War.
Karya klasik turut jadi pilihan Baginda antaranya enam jilid The Arabian Nights, The Book of the Thousand Nights and One Night, Ulysses, Anna Karenina, Faust, karya Jospeh Conrad dan Selected Stories.
Tuanku juga menamai aras-aras di Pustaka Raja Tun Uda sempena nama tokoh berjasa antaranya Dato’ Mokhtar Dahari, Prof Emeritus Tan Sri Dato' Indera Dr Haji Mohd Rashdan Haji Baba, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Tan Sri (Dr) Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za'ba), dan Prof Diraja Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.
[caption id="attachment_678418" align="aligncenter" width="1083"] Pengunjung memilih bahan bacaan di Pustaka Raja Tun Uda yang dibuka kepada umum pada 22 Julai 2011. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR[/caption]
Sultan Sharafuddin juga beberapa kali berangkat bersendirian ke Pustaka Raja Tun Uda tanpa sebarang makluman rasmi untuk meninjau aneka koleksi di situ.
"Baginda tidak mahu ada jurufoto atau pegawai pengiring. Setiap kali lawatan, kerana tahu kami tidak bersedia, Baginda menggesa jangan susah payah sediakan santapan," kata Mastura.
Puteri Baginda Tengku Zatashah juga dari semasa ke semasa menyumbangkan buku. Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pula sering mengadakan program di situ.
"Lakukan sepenuh hati." Ungkapan itu dititip Tuanku ketika pertama kali Mastura bertemu Baginda dalam satu program anjuran PPAS di Taman Tasik Shah Alam pada 2010.
"Kata-kata ini ringkas tetapi mendalam maksudnya. Ini yang cuba diterapkan dalam budaya kerja di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam dan 104 perpustakaan lain di seluruh negeri," kata Mastura.
Berkat nasihat Baginda dan kerja keras warga kerja PPAS, pelbagai anugerah diraih antaranya 2024 Asia's Most Beautiful Library: Raja Tun Uda Library, 2023 IFLA WLIC Rotterdam: WLIC Viewers Choice - Smart Solat @ Pustaka Raja Tun Uda, Johan KIK (Kumpulan Inovasi & Kereatif).
[caption id="attachment_667003" align="aligncenter" width="1230"] Pustaka Raja Tun Uda di Seksyen 13, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]