ad
AGENDA

Motac ambil tindakan isu penipuan pakej pelancongan ke Seoul

19 Dis 2024, 3:46 AM
Motac ambil tindakan isu penipuan pakej pelancongan ke Seoul

PUTRAJAYA, 19 DIS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan terus memantau isu dakwaan penipuan oleh agensi pelancongan tidak berlesen yang dikendalikan pempengaruh media sosial dan usahawan Malaysia yang menetap di Seoul, Korea Selatan.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), dengan mangsa digesa membuat laporan polis serta aduan ke kementerian itu di pautan https://www.motac.spab.gov.my bagi membantu siasatan.

Menurut kenyataan itu, individu yang menjalankan perniagaan mengendalikan pelancong atau agensi pengembaraan tanpa lesen di bawah akta berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“MOTAC sering menyarankan masyarakat supaya membeli pakej pelancongan daripada agensi pengendalian pelancong atau agensi pengembaraan berlesen bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” menurut kenyataan itu dengan senarai agensi berlesen boleh disemak di laman sesawang https:/www.motac.gov.my/semakan/tobtab.

Orang awam juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi kementerian dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap pakej yang ditawarkan agensi agar hak mereka sebagai pembeli terpelihara dan kes penipuan dapat dielakkan.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima lima laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul yang ditawarkan seorang usahawan yang juga pempengaruh media sosial.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.