SEPANG, 18 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan melaksanakan program sifar penggunaan penyedut minuman plastik di semua premis bazar Ramadannya, tahun depan.
Timbalan Yang Dipertuanya Muhamad Shah Osmin berkata ia adalah penambahbaikan kepada kempen bebas penggunaan plastik sekali guna sebagai inisiatif memulihara alam sekitar.
“Tahun depan kami menetapkan bahawa semua premis atau peniaga bazar Ramadan tidak akan menyediakan penyedut minuman plastik.
“Kalau mereka nak sediakan pun adalah penyedut minuman yang biodegrasi, mesra alam dan boleh dilupuskan dengan cepat berbanding dengan penyedut minuman plastik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPSepang di Cyberjaya, hari ini.
Tambah Muhamad Shah, sebanyak 12 lokasi bazar Ramadan melibatkan 886 petak disediakan tahun depan di Kawasan Sepang.
“Ini termasuk bazar Ramadan Sepang Putra yang dibuka kembali atas permintaan dan pertambahan penduduk serta bazar Ramadan Sepang International Circuit (SIC) yang terbaharu diperkenal MPSepang dengan kerjasama pengurusan SIC.
“Di bazar Ramadan SIC ini mungkin kita boleh pelbagaikan juadah dan disediakan kuota untuk menu gastronomi selaras pengumuman beberapa jenis menu makanan warisan Selangor,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata Selangor bakal menguatkuasa larangan penggunaan beg plastik pada Jumaat hingga Ahad di setiap premis perniagaan sebagai inisiatif memulihara alam sekitar.
Menurut Jamaliah perkara itu sedang diteliti termasuk aspek bidang kuasa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang bakal diambil berjalan lancar.