ad
BERITA UTAMA

Cadang KKM wujud tabung khas bantu waris tuntut jenazah di hospital

18 Dis 2024, 5:53 AM
Cadang KKM wujud tabung khas bantu waris tuntut jenazah di hospital
Cadang KKM wujud tabung khas bantu waris tuntut jenazah di hospital

SHAH ALAM, 18 DIS: Selangor mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan tabung kecemasan bagi membantu waris yang tidak berkemampuan untuk tuntutan jenazah di hospital.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dana itu boleh digunakan untuk kes tertentu seperti yang berlaku di sebuah hospital swasta di Klang, baru-baru ini supaya tidak berulang.

Mencadangkan perkara itu dijadikan polisi KKM di hospital kerajaan dan swasta, bagaimanapun, beliau menjelaskan ia perlu dikaji secara mendalam dan terperinci terlebih dahulu.

“Di peringkat negeri, pemberian bantuan boleh dibincangkan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Tabung boleh diurus bersama pihak hospital dan LZS.

[caption id="attachment_674271" align="aligncenter" width="815"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bercakap kepada wartawan selepas Majlis Penyerahan Geran Kebajikan dan Wanita Selangor di Foyer SUK Selangor pada 21 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Di peringkat awal, secara tuntasnya belum diputuskan pihak mana yang perlu melaksanakan tabung ini, masih dalam cadangan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Anfaal berkata pentadbiran negeri sentiasa mengikuti perkembangan kes tular membabitkan jenazah bayi lelaki yang dibekukan selama dua minggu dalam peti sejuk mayat.

Bagaimanapun, beliau menyarankan orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada mereka (ibu bapa) jika diperlukan,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular jenazah bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat di sebuah hospital swasta di Klang. dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.

Pada 16 Disember, ketua polis Selangor berkata pihaknya sedang menyemak dengan jabatan agama Islam bagi mendapatkan bukti pernikahan ibu bapa kepada bayi berkenaan.

Menurut Datuk Hussein Omar Khan, seramai lima individu dirakam percakapan melibatkan ibu bapa bayi berkenaan, dua doktor dan rakan kepada pasangan itu yang menghantar wanita terbabit ke hospital.

Tambahnya, laporan itu diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis dan pihak polis sedang menjalankan siasatan secara mendalam untuk menentukan jika terdapat unsur jenayah.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.