ad
PBT

Terminal bas baharu tiga tingkat di Cyberjaya antara projek tumpuan MPSepang tahun depan

18 Dis 2024, 5:30 AM
Terminal bas baharu tiga tingkat di Cyberjaya antara projek tumpuan MPSepang tahun depan

SEPANG, 18 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menumpukan 10 projek berdampak tinggi berjumlah kira-kira RM50 juta tahun depan, bagi mewujudkan pembangunan mampan di daerah itu.

Timbalan Yang Dipertuanya Muhamad Shah Osmin berkata susulan kenaikan cukai taksiran tahun depan, pelbagai kemudahan dan infrastruktur awam seperti jalan raya, lampu jalan, perparitan dan taman awam dipertingkat.

Beliau menjelaskan projek terlibat termasuk pembinaan terminal bas tiga tingkat di Persiaran Multimedia, Cyberjaya yang dijangka siap pada November 2026 selain pembangunan dua taman awam di Sepang Putra.

Selain itu pembinaan kompleks komuniti Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Sungai Merab dan balai raya Taman Arked Dengkil, selain naik taraf landskap taman awam di kawasan rekreasi Taman Cempaka, Bandar Baru Salak Tinggi serta padang bola di Jalan Putra Perdana 1/2, Taman Putra Perdana.

“Komitmen ini adalah langkah signifikan dalam memperkukuh perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dan memastikan kawasan kediaman sentiasa selesa, bersih dan selamat didiami,” katanya pada mesyuarat penuh MPSepang hari ini.

Muhamad Shah berkata, turut dilaksanakan ialah penggantian kabel bawah tanah bagi sistem lampu awam di Jalan Dagang Mas dan penggantian lampu awam jenis diod pemancar cahaya (LED) di Jalan Utama Salak Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi.

“Turut terlibat pengindahan sempadan daerah dan pemasangan lampu hiasan di jambatan FT29 Cyberjaya-Nilai dan pelaksanaan program sosial untuk warga emas, hal ehwal wanita, program belia dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Menurutnya, kenaikan cukai taksiran sehingga 25 peratus membawa pertambahan hasil daripada RM150.9 juta sedia ada kepada RM191.9 juta selepas ini melibatkan tambahan hasil kira-kira RM41 juta.

“MPSepang menggunakan pendekatan berstruktur dalam memastikan projek dirancang dan dilaksanakan memberi impak positif kepada rakyat meliputi keseluruhan elemen pembangunan termasuk infrastruktur dan sosioekonomi penduduk,” katanya.

Selain itu, katanya kenaikan cukai taksiran juga akan membantu merancakkan Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 ke arah meningkatkan, menaiktaraf dan menceriakan kemudahan di kawasan pelancongan.

“Ini termasuk penurapan semula jalan majlis dan projek pemasangan lampu LED di jalan sempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan.

“Dalam masa sama kita juga akan menaik taraf kemudahan di kawan pelancongan seperti di pantai Bagan Lalang yang akan menarik pelancong ke daerah ini,” katanya.

Pada 9 Disember, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mengumumkan pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran.

Mereka hanya perlu membayar 25 peritus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua pihak berkuasa tempatan mulai 1 Januari 2025 selain meneruskan pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah di Selangor juga diteruskan bagi tahun kesepuluh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.