SHAH ALAM, 17 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menganjurkan Mini Karnival Pembaharuan Lesen Perniagaan MPAJ 2025 selama dua hari mulai esok.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang karnival yang bermula 9 pagi hingga 5 petang di Galeri Aras 4, Menara MPAJ.
Antara pengisian adalah taklimat perniagaan dan kebersihan, taklimat kesedaran HIV termasuk pameran daripada pelbagai agensi antaranya Yayasan Hijrah Selangor dan Platform Selangor.
“Justeru, orang ramai khususnya pengusaha premis perniagaan dan usahawan mikro di kawasan pentadbiran MPAJ dijemput hadir ke mini karnival ini dan perbaharui lesen segera sebelum 31 Disember ini,” maklum MPAJ menerusi kenyataan.
Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, boleh hubungi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ menerusi talian 03-4285 7344/ 7170.