ad
AGENSI

Bantu jana pendapatan, negeri hasrat tubuh koperasi di masjid tahun depan

17 Dis 2024, 1:00 AM
Bantu jana pendapatan, negeri hasrat tubuh koperasi di masjid tahun depan
Bantu jana pendapatan, negeri hasrat tubuh koperasi di masjid tahun depan

SHAH ALAM, 17 DIS: Selangor berhasrat menubuhkan koperasi di masjid tahun depan untuk manfaat ahli kariah, sekali gus membantu institusi berkenaan menjana pendapatan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia juga bakal menjadi pelopor kegiatan ekonomi dalam kalangan kariah, dengan model pelaksanaannya sedang dikaji.

“Setakat ini terdapat satu koperasi masjid di Masjid Al-Falah, Subang Jaya. Selain mendekatkan jemaah dan anak kariah dengan masjid, ia membuka ruang untuk sumbangan ekonomi,” katanya.

[caption id="attachment_678187" align="alignright" width="483"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Rumpun Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 16 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Rumpun Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin berkata perbincangan sedang dibuat bersama Jabatan Agama Islam Selangor bagi menguatkuasakan hasrat berkenaan, dengan memastikan nama baik masjid terus terbela.

“Perbincangan dibuat dengan tuntas bagi mengelakkan konflik seperti berlaku perebutan antara tempat, lokasi ataupun posisi yang melibatkan reputasi masjid dan umat Islam,” katanya lagi.

Terdahulu, Amirudin memberitahu sebanyak 2,115 koperasi berdaftar di seluruh negeri sepanjang tahun lalu, menjadikan Selangor kekal peneraju badan berkenaan di Malaysia.

Beliau menjelaskan koperasi tersebut turut merekodkan perolehan sebanyak RM706.31 juta, dengan nilai aset RM2.69 bilion dan keanggotaan 648,633 ahli dalam tempoh sama.

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.