ad
AGENDA

Dua lelaki Thailand lepaskan tembakan di sempadan negara ditahan

16 Dis 2024, 3:18 PM
Dua lelaki Thailand lepaskan tembakan di sempadan negara ditahan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Polis mengesahkan dua lelaki warga Thailand disyaki melepaskan tembakan berhampiran pos kawalan pasukan keselamatan di sempadan negara Padang Besar, Perlis seperti yang tular di media sosial hari ini, ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua lelaki berusia 21 dan 28 tahun itu ditahan Polis Thailand di Songkhla pada Jumaat lepas.

Beliau berkata dalam kejadian pada 10.28 pagi 12 Disember lepas, dua anggota Pasukan Gerakan Am yang sedang membuat rondaan menerusi Ops Taring Wawasan Kedah dan Perlis terdengar beberapa das tembakan berhampiran pagar keselamatan dari arah Thailand.

“Anggota tersebut kemudiannya mengambil tindakan dengan mencari perlindungan dan ternampak kelibat dua orang lelaki menaiki motosikal di kawasan negara Thailand.

“Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada anggota terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Razarudin berkata siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis skuter berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran Thailand memberhentikan motosikal dan mengeluarkan senjata jenis pistol (automatik) dan terus melepaskan tembakan ke arah sempadan negara.

“Suspek dipercayai melepaskan 10 das tembakan (berdasarkan anggaran pergerakan senjata) dan selepas itu suspek mengutip kelongsong peluru sebelum beredar dari lokasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan dikongsikan dengan Polis Thailand yang kemudiannya berjaya menahan kedua-dua suspek di dua lokasi di Songkhla pada 10.40 pagi (waktu Malaysia), sehari selepas kejadian.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek telah meminjam senjata itu daripada rakan dan mengaku melepaskan tembakan ke arah Malaysia untuk mencuba senjata tersebut sebelum memulangkan kembali kepada rakan mereka.

Razarudin berkata Polis Thailand kini giat mengesan rakan suspek yang juga pemilik senjata tersebut untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan dan mengutamakan keselamatan anggota yang bertugas bagi menghadapi sebarang ancaman di sempadan negara.

Hari ini, tular di media sosial video berdurasi satu minit 13 saat memaparkan pergerakan dua lelaki disyaki warga Thailand melepaskan beberapa das tembakan ke arah sempadan negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.