ad
AGENDA

Pakar: Kos sara hidup terus naik, simpanan asas RM390,000 sukar

16 Dis 2024, 6:50 AM
Pakar: Kos sara hidup terus naik, simpanan asas RM390,000 sukar

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 16 DIS: Sasaran simpanan asas RM390,000 yang ditetapkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2028 berbanding RM240,000 ketika ini, berdepan cabaran besar memandangkan kos sara hidup terus meningkat.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya berkata kajian Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan pesara memerlukan sekurang-kurangnya RM4,500 sebulan untuk hidup selesa selepas pencen.

Menurut Dr Amirah Shazana Magli rakyat bergelut dengan gaji minimum, keadaan ekonomi dan ketidakpastian sektor perniagaan bagi mencapai sasaran tersebut.

"Sebagai contoh gaji minimum, seperti diumum dalam Belanjawan 2025, gaji dijangka dinaikkan kepada RM1,700 banding RM1,500 sebelum ini.

"Walaupun peningkatan ini memberikan sedikit kelegaan kepada pekerja, namun ia masih lagi belum mencukupi untuk mengimbangi peningkatan kos sara hidup yang pesat terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Ada juga kajian yang dijalankan BNM pada 2023 menunjukkan untuk hidup selesa di Kuala Lumpur, sebuah keluarga perlu pendapatan sekurang-kurangnya RM4,500 sebulan.

"Ini memberi satu gambaran jelas banyak pekerja khususnya golongan berpendapatan rendah, mungkin tidak mampu untuk menyimpan dengan kadar mencukupi untuk mencapai jumlah sasaran KWSP terbaharu," katanya kepada Media Selangor.

Tambah Amirah Shazana keadaan ekonomi majikan juga memainkan peranan penting dalam kelangsungan caruman KWSP memandangkan perusahaan kecil sederhana masih lagi berdepan cabaran besar selepas pandemik Covid-19.

"Majikan yang menghadapi tekanan kewangan ini mungkin kurang bermotivasi menambah caruman KWSP pekerja dan ia mengurangkan peluang pekerja untuk mencarum dengan jumlah lebih tinggi.

"Meskipun terdapat peningkatan gaji minimum, hakikatnya ramai pekerja sektor perkhidmatan dan pembuatan perlu tanggung kos yang tinggi ditambah pula keperluan membayar hutang dan komitmen lain," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.