KUALA LUMPUR, 15 DIS: Polis menjalankan siasatan dalaman terhadap anggotanya yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita dalam satu protes di ibu negara, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya sudah mengenal pasti anggota berkenaan yang bertugas di ibu negara.
"Siasatan telah dimulakan walaupun polis tidak menerima laporan berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular satu hantaran menerusi media sosial Instagram oleh seorang wanita yang mendakwa seorang anggota polis menunjukkan isyarat lucah kepadanya, ketika wanita itu sedang mengambil gambar dalam satu protes mengenai hak asasi manusia di sini.
Wanita berkenaan turut mendakwa isyarat yang ditujukan kepadanya itu diulang beberapa kali oleh anggota polis terbabit bagi memastikan ia dapat dilihat.
- BERNAMA