ad
AGENDA

Kanak-kanak lelaki terjatuh laut ditemukan lemas enam kilometer dari lokasi

15 Dis 2024, 10:40 AM
Kanak-kanak lelaki terjatuh laut ditemukan lemas enam kilometer dari lokasi

KOTA BHARU, 15 DIS: Pencarian kanak-kanak lelaki yang hilang selepas terjatuh di Pantai Kandis, Bachok berakhir apabila mayatnya ditemukan 11.15 pagi ini, kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata mayat Muhammad Naufal Arsyad Muhammad Aiman Hafiz, 8, ditemukan orang awam di pesisir Pantai Pok, Pulau Kambing, Bachok dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai diminta berhati-hati ketika ke pantai dan patuh arahan pihak berkuasa terutama ketika musim tengkujuh Ketika ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Media melaporkan Muhammad Naufal Arsyad dari Kampung Cabang Tiga Pohon Nenasi, Beris Lalang, Bachok dikhuatiri lemas selepas tejatuh ketika bersiar-siar di Pantai Kandis bersama ahli keluarganya dalam kejadian 6.50 petang semalam.

Sementara itu Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata Operasi Carilamat selama dua hari itu meliputi kawasan pencarian seluas 12 batu nautika persegi.

Beliau berkata empat bot penyelamat milik Maritim Malaysia Kelantan, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan dalam operasi berkenaan yang turut dibantu agensi seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.