ALOR SETAR, 15 DIS: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengutip lebih 12,800 tan janaan sisa banjir di tujuh negeri yang terjejas bencana itu dalam operasi bermula 28 November hingga 11 Disember lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata 45 kawasan terlibat dalalm operasi itu membabitkan Kedah, Perlis, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kita meletakan sasaran sehingga 20 Disember di negeri ini yang menerima pakai Akta 672 agar bersih, insya-Allah kita doakan semoga tak ada gelombang lagi.
“Dalam operasi ini, 153 unit jentera digunakan dengan 362 pekerja dan janaan sisa banjir sebanyak 12,852.18 tan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kerja pembersihan dan pengurusan pascabanjir di Taman Aman, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata 730.03 tan sisa banjir di Kedah melibatkan 19 lokasi di Alor Setar dan 10 tan di Kubang Pasu berjaya dikumpulkan dan dihantar ke pusat pelupusan di Jabi, di sini.
“SWCorp juga telah mengarahkan E-Idaman menempatkan 171 unit tong sampah merangkumi 71 unit kapasiti 1100 liter, 95 unit (240 liter), dua unit (660 liter) dan tiga unit Roro di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dengan frekuensi kutipan secara harian.
“Hari ini saya turun di Taman Aman bagi memastikan kerja pembersihan berjalan dan tidak seperti hanya dilaporkan saja dan berharap penduduk kembali menjalani kehidupan selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata penduduk juga diminta menguruskan sisa pepejal dan memastikan persekitaran kembali bersih.
- BERNAMA