KUANTAN, 15 DIS: Dua lelaki ditahan selepas disyaki merogol seorang gadis Orang Asli berusia 15 tahun dikenali menerusi aplikasi cari jodoh di media social di Pekan Ringlet, Cameron Highlands.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Azri Ramli berkata dua suspek warga tempatan berusia 29 dan 33 tahun itu ditahan 3.20 pagi semalam selepas mangsa membuat laporan polis Jumaat lalu pada 3.47 pagi.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa berkenalan dengan suspek di ‘Aps Dating’ dan dibawa suspek dengan menaiki kenderaan Proton Wira untuk 'berjalan-jalan' dan mangsa kemudian dibawa ke Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang dirogol di dalam kereta ditinggalkan di lorong dan diselamatkan orang awam sebelum dibawa ke balai polis.
"Mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut," katanya.
Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA