JOHOR BAHRU, 15 DIS: Program Gerakan Kepimpinan MADANI: Hentikan Salah Laku Buli dan Seksual yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh inisiatif kementerian dalam usaha membanteras isu berkenaan di sekolah.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata ia merupakan program sokongan yang akan menyaksikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta kepimpinan dan pengurusan tertinggi kementerian turun padang bagi menyantuni pelajar dan guru khususnya pada perhimpunan rasmi sekolah.
Beliau berkata program itu yang pertama diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini di sini akan diteruskan ke sekolah lain di seluruh negara.
"Program ini adalah untuk memperkukuh lagi gerakan bagi menangani isu berkaitan buli dan gangguan seksual di sekolah dan ini merupakan komitmen KPM, kerana sebelum ini kita sudah keluarkan garis panduan mengenai isu tersebut.
"Jadi, kita harap menerusi garis panduan yang telah dikeluarkan, pengurusan berkaitan buli dan gangguan seksual dapat diurus dengan sebaiknya di semua sekolah di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Gerakan Kepimpinan MADANI: Hentikan Salah Laku Buli dan Seksual di SMK Mutiara Rini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad, Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru Saliman Selamat dan Pengetua SMK Mutiara Rini Zanariah M Yasin.
Azman dalam pada itu berkata KPM menerusi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) merekodkan 6,528 kes buli tahun lalu dan 6,208 kes setakat Oktober 2024.
Sehubungan itu, beliau berkata pelbagai langkah proaktif diambil kementerian bagi membanteras isu salah laku buli dan seksual dengan sebaiknya, termasuk menyediakan Portal Aduan Buli yang terbahagi kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, emel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp selain peti aduan yang disediakan di sekolah.
"Kita juga mengeluarkan pekeliling dan garis panduan berkaitan dengan kes buli dan seksual, yang mana ia komprehensif melibatkan tatakelola dan tatacara bagaimana untuk menangani aduan.
"Selain itu, pelbagai aktiviti sokongan kementerian dilaksanakan di sekolah bagi memastikan program melibatkan kesedaran dan pencegahan libat isu ini dapat diberi kepada anak-anak, termasuk pendekatan Duta Sahsiah yang boleh menjadi model dan suri teladan kepada murid lain,'' katanya.
Menurutnya pihak sekolah juga perlu mewujudkan ekosistem terbaik bagi menarik minat pelajar hadir ke sekolah serta menegaskan pihak sekolah wajib melaporkan sebarang isu atau kes melibatkan buli dan seksual kepada kementerian.
Terdahulu, empat pelajar SMK Mutiara Rini iaitu Cheng Kai Neng, Diong Chuan Xuan, Muhammad Hadif Imran Helmee dan B.Shavithasri Nair yang dilantik sebagai Duta Sahsiah, berazam mahu membantu rakan sekolah menghindari salah laku buli atau seksual.
"Sebagai Duta Sahsiah, saya sebelum ini juga telah membantu rakan yang dibuli dengan memanggil mereka dalam sesi kaunseling untuk mendengar masalah dihadapi, ia menjadi tanggungjawab saya bagi memastikan mereka dilindungi dan mendapat perhatian agar isu ini dapat diselesaikan," kata Cheng, 17.
KPM pada November lalu melancarkan Kit Duta Sahsiah yang merupakan inisiatif memperkasakan murid yang dilantik sebagai Duta Sahsiah iaitu individu yang mempunyai teladan positif dalam mempromosikan nilai murni, disiplin, integriti serta tanggungjawab bagi mempengaruhi rakan sebaya dalam komuniti mereka.
- BERNAMA