ad
BERITA UTAMA

Gabungan tiga sukan, bola pikel kian diminati ramai

15 Dis 2024, 4:00 AM
Gabungan tiga sukan, bola pikel kian diminati ramai
Gabungan tiga sukan, bola pikel kian diminati ramai
Gabungan tiga sukan, bola pikel kian diminati ramai
Gabungan tiga sukan, bola pikel kian diminati ramai
Gabungan tiga sukan, bola pikel kian diminati ramai
Gabungan tiga sukan, bola pikel kian diminati ramai

Minat orang ramai terhadap bola pikel berkembang pantas sejak beberapa tahun kebelakangan ini meskipun sukan yang menggabungkan teknik badminton, tenis dan pingpong masih baharu di negara ini.

Pun begitu, sukan berkenaan sebenarnya telah popular di beberapa negara lain berdekad-dekad lamanya antaranya Amerika Syarikat (AS), Kanada dan United Kingdom.

Diperkenal di republik itu pada 1965, bola pikel mula terkenal sekitar dekad 70-an. Sambutan itu didorong penubuhan sebuah syarikat bagi memenuhi permintaan terhadap raket, bola dan jaring.

Sukan itu lahir apabila anggota Ahli Kongres AS Joel Pritchard dan rakannya Bill Bell, seorang ahli perniagaan, mahu bermain badminton di rumah ahli politik itu selepas pulang bermain golf.

Mereka tercari-cari raket untuk beraksi di gelanggang lama belakang rumah tetapi tidak jumpa. Sebaliknya mereka hanya menemui raket ping pong dan bola plastik berlubang-lubang. Menggunakan jaring badminton setinggi 60 inci, mereka pun mula bermain.

Seminggu kemudian, mereka menggunakan bola yang boleh melantun pula manakala jaring direndahkan kepada 36 inci. Pritchard turut mengajak jirannya Barney McCallum.

Mereka bertiga kemudian merintis peraturan permainan itu.

Ketika ini, sukan itu dimainkan lebih 36 juta orang di AS. Kelompok individu berusia 18 hingga 34 tahun paling ramai berkecimpung dalam permainan tersebut. Ramai juga pesara dan warga emas meminati sukan tersebut.

Menurut portal Pickleheads, sebuah laman sesawang kemasyarakatan peminat sukan itu, lebih 19,200 gelanggang dibina meliputi hampir 8,000 bandar di negara berkenan pada masa ini. Malah permintaan terhadap raketnya mencecah USD152.8 juta pada 2021.

Gabung tiga sukan

Sukan itu lazimnya dimainkan secara beregu. Namun, bola pikel juga boleh dimainkan secara perseorangan di gelanggang seluas 20 kaki lebar dan 44 kaki panjang, seperempat saiz gelanggang tenis.

Pemain perlu memukul bola plastik berdiameter antara 2.76 inci dan 2.98 inci yang berlubang menggunakan raket yang sedikit besar berbanding pingpong. Saiz standard 16 inci panjang dan lebar 8 inci.

Gaya permainannya seakan-akan tenis. Ringkasnya, pemain yang memula servis mendapat mata jika lawan gagal membuat pukulan balas.

Maksimum 11 mata untuk satu perlawanan. Setiap gelanggang ada zon larangan pukulan atau disebut ‘kitchen’. Jaraknya seluas tujuh kaki daripada jaring.

Pukulan dikira jika bola melepasi kawasan itu (kitchen). Jika bola melantun dalam kitchen, pemain boleh masuk membuat pukulan.

[caption id="attachment_648995" align="aligncenter" width="811"] Aksi peserta Kejohanan Pickleball Jemputan PREC 2024 di Gelanggang ARENA A.T.A.S @ SACC Mall Shah Alam pada 22 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

Untuk membuat servis pula, pemain dari garisan belakang perlu memukul bola dari paras pinggang kepada pemain lawan yang perlu menunggu bola melantun dan melepasi ‘kitchen’ sebelum membuat pukulan balas.

Perkara sama perlu dibuat apabila mengambil pukulan balas. Setelah bola melantun di kawasan kedua-dua pihak, mereka tidak perlu lagi menunggu lantunan sebaliknya boleh membuat pukulan terus.

Jika kesalahan dibuat pemain yang memulakan servis, tiada mata diberi sebaliknya berlaku jika kesalahan dibuat pemain lawan.

Menyedari kerancakan sukan ini di Malaysia, ditambah gelanggang bola pikel tumbuh bagai cendawan selepas hujan, Kerajaan Selangor selaku tuan rumah memutuskan untuk memasukkannya dalam Sukan Malaysia (SUKMA) edisi 2026.

[caption id="attachment_673475" align="aligncenter" width="814"] Datuk Bandar MBSJ Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim bermain Pickleball ketika hadir pada Kejohanan Jemputan Pickleball Piala Datuk Bandar Subang Jaya di Dewan Serbaguna MBSJ Putra Heights (Camelia) pada 16 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Dalam Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menggalakkan perkembangan sukan tersebut.

Langkah itu berikutan beliau mendapati sebahagian besar masyarakat seluruh dunia terutama generasi muda mula mementingkan gaya hidup sihat melalui sukan selepas menempuh kemuncak pandemik Covid-19.

“Sukan yang telah mengalami ledakan di Malaysia dalam tahun ini adalah sukan bola pikel. Faktor penarik bola pikel adalah cara dan budayanya yang inklusif.

“Tidak kira muda atau warga emas, lelaki atau wanita, semua dapat menyertai dan mengangkat paddle (raket) dengan pantas.

“Sudah pasti untuk menjadi pakar memerlukan kepakaran teknik, latihan dan kegigihan yang tinggi,” katanya.

Amirudin turut memetik pandangan beberapa pakar yang mengunjurkan rantau Asia bakal menjadi medan bola pikel dunia ekoran penambahan 100 juta pemain baharu dalam tempoh lima tahun.

Dana yang disalur Kerajaan Negeri bertujuan mempopular lagi sukan itu bersempena Tahun Melawat Selangor tahun depan selain mencungkil bakat peringkat akar umbi serta mengadakan Pesta Bola Pikel Selangor pada peringkat sekolah, daerah sehingga antarabangsa.

Secara tidak langsung, minat orang ramai terhadap bola pikel selaras hasrat pentadbiran negeri yang mahu memperbanyak penganjuran acara termasuk peringkat antarabangsa bagi merancakkan lagi sektor pelancongan sukan.

Beliau juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk menambah gelanggang bola pikel di taman-taman awam dengan menukar gelanggang badminton di ruang terbuka ekoran sukan itu lebih sesuai di kawasan tertutup.

“Selangor berhasrat menjadi negeri pertama yang menganjurkan sukan bola pikel dalam SUKMA selaku hos 2026,” kata Amirudin lagi.

[caption id="attachment_673477" align="aligncenter" width="752"] Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim bergambar bersama peserta pada Kejohanan Jemputan Pickleball Piala Datuk Bandar Subang Jaya di Dewan Serbaguna MBSJ Putra Heights (Camelia) pada 16 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Menyahut seruan tersebut, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyatakan kesediaannya untuk menjadi bapa angkat sukan berkenaan dalam temasya dwitahunan itu.

MBSJ juga mengajak sektor swasta yang ada tanah kosong atau terbiar untuk membangunkan gelanggang bola pikel.

“Kita merancang banyak kegiatan dan kejohanan bola pikel dalam kalendar MBSJ pada tahun depan supaya lebih ramai bakat baharu dalam sukan ini dapat dilahirkan.

“MBSJ juga akan menguar-uarkan di media sosial berhubung kejohanan bola pikel yang dianjurkan pada masa depan,” kata Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dalam Kejohanan Jemputan Bola Pikel Piala Datuk Bandar pada 16 November.

Selain gelanggang sedia ada di dewan serba guna di Seksyen 10 Putra Heights, MBSJ juga mahu menambah beberapa lagi kemudahan sedemikian di Seksyen 15 dan USJ termasuk mengubah suai gelanggang badminton.

Tidak ketinggalan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya bercadang membina enam gelanggang bola pikel termasuk mengubah suai gelanggang futsal pada Januari.

“Memang ada vendor mohon dengan kita untuk menaik taraf gelanggang futsal kepada gelanggang bola pikel. Insya-Allah, proses ubah suai akan dilaksana dalam masa terdekat.

“Gelanggang ini berkonsep dalaman dan luaran. Ia akan menjadi gelanggang bola pikel pertama di Petaling Jaya,” kata Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.