ad
AGENDA

Dua lelaki disyaki lakukan samun, menyamar anggota polis ditahan

13 Dis 2024, 11:25 AM
Dua lelaki disyaki lakukan samun, menyamar anggota polis ditahan

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun menggunakan senjata api dan menyamar sebagai anggota polis, di sebuah rumah di Jalan Metro Barat Perdana Timur 2, Taman Usahawan Kepong, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dalam kejadian 11 malam itu, suspek yang bersenjatakan pistol telah datang ke rumah seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun kononnya untuk tujuan pemeriksaan selain memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Pengadu (mangsa) yang curiga dengan tindakan suspek telah menghubungi Balai Polis Kepong untuk meminta bantuan. Suspek kemudian bertindak merampas telefon bimbit milik pengadu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat katanya, polis menyerbu lokasi kejadian dan berjaya menahan kedua-dua suspek masing-masing berusia 42 dan 55 tahun manakala pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang lagi tidak bekerja.

“Polis merampas sepucuk pistol jenis CZ 75 yang didapati milik sebuah syarikat kawalan keselamatan dan dipercayai digunakan suspek untuk tujuan pemerasan. Turut dirampas ialah 10 butir peluru, sekeping kad lesen senjata api milik syarikat kawalan keselamatan dan dua telefon bimbit milik mangsa.

“Siasatan mendapati suspek tidak memakai pakaian seragam polis (ketika datang ke rumah mangsa) dan hanya memperkenalkan diri sebagai anggota secara lisan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kedua-duanya telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana disyaki melakukan pemerasan RM5,000 terhadap seorang pemilik gerai di Jalan Sentul Pasar, 5 Dis lepas.

Ahmad Sukarno berkata dalam kejadian pada 6 pagi itu, lelaki terbabit dipercayai mengugut untuk merosakkan gerai mangsa jika wang itu tidak dibayar dan kemudian makan tanpa membuat bayaran di gerai mangsa pada 2.30 petang hari sama.

“Bertindak atas maklumat, polis menangkap lelaki itu pada Ahad lepas di Sentul Pasar dan siasatan mendapati dia mempunyai 15 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik, namun tidak mempunyai kaitan dengan kongsi gelap,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.