SHAH ALAM, 13 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang mengesan ibu bapa kepada bayi lelaki yang meninggal dunia akibat sindrom cyclops di sebuah hospital swasta di Klang, baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata agensi itu ingin mendapatkan maklumat untuk mengetahui perkara sebenar dan menghulurkan bantuan.
"Kejadian ini berlaku di Klang, dekat dengan pejabat kita. Tetapi mereka tidak datang buat aduan atau minta tolong. Kita tiada maklumat mengenai ibu bapa atau waris mereka.
“Kita hanya tahu dari media. Kalau mereka susah, biasanya ada yang nasihatkan jumpa LZS untuk minta bantuan. Kalau ada aduan, sudah tentu kita akan terus bantu,” katanya kepada pemberita.
[caption id="attachment_677705" align="aligncenter" width="787"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melepaskan konvoi Misi Prihatin Mangsa Banjir ke Kelantan, Terengganu dan Kedah di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 13 Disember 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan konvoi kumpulan Mais ke Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi penyerahan sumbangan di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menasihatkan masyarakat supaya terus berjumpa agensi agama terdekat jika memerlukan bantuan segera, khususnya melibatkan kecemasan atau kematian.
Sambil menyifatkan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku, beliau berharap isu berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak, selain diselesaikan dengan baik.
“Setiap negeri ada agensi zakat negeri masing-masing. Kalau ada masalah, terus pergi jumpa dan tunjukkan bukti kesulitan yang dihadapi. Kita pasti akan bantu segera,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan jasad bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama dua minggu di sebuah hospital di Klang, dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
Pihak pengurusan hospital didakwa bertegas meminta bil bayaran berjumlah RM3,600 diselesaikan terlebih dahulu sebelum urusan pengebumian boleh dibuat.