ad
AGENDA

Buaya di Teluk Batik: Perhilitan pantau persekitaran, nasihat orang awam waspada

13 Dis 2024, 2:15 AM
Buaya di Teluk Batik: Perhilitan pantau persekitaran, nasihat orang awam waspada

IPOH, 13 DIS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak hari ini terus memantau persekitaran Pantai Teluk Batik susulan penampakan kehadiran seekor buaya di kawasan itu semalam.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya belum memasang perangkap, namun meminta orang ramai yang berada di kawasan berkenaan supaya berhati-hati.

“Kita pantau dahulu sebab tidak semua (kes) kita akan pasang perangkap kerana kawasan berkenaan merupakan habitat haiwan itu dan kita minta orang ramai berhati-hati ... jangan timbulkan provokasi, jangan baling (barang) ke arah buaya itu.

"Selepas itu, pihak kami menjangkakan dalam dua atau tiga hari ini haiwan itu akan pulang semula (ke habitat asal) kerana berkemungkinan buaya itu tersesat di kawasan pantai terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, media melaporkan pasukan rondaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima maklumat daripada satu rakaman video penampakan buaya itu yang berada berdekatan dengan jeti milik syarikat Vale Mineral (Malaysia) Sdn Bhd (Vale) di Teluk Rubiah kira-kira 2.24 petang.

Selepas menerima laporan itu, tindakan telah dilakukan oleh pihak APM dan mengesahkan kewujudan reptilia itu di kawasan terbabit, susulan itu, Perhilitan Perak telah menjalankan operasi pemantauan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.