KLANG, 11 DIS: Selangor mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.593 bilion setakat kelmarin, melepasi 18 peratus daripada nilai sasaran RM2.2 bilion yang ditetapkan tahun ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu bukti kesungguhan penjawat awam dan anggota pentadiran dalam meningkatkan hasil, sekali gus memacu ekonomi negeri.
Menurutnya, pencapaian itu juga mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa, selain kepercayaan rakyat untuk pentadbiran negeri merencana agihan kekayaan secara efektif dan bersasar.
“Sukacita patik ingin menyembah maklum pembangunan ekonomi Selangor bawah kerajaan Tuanku terus meningkat. Tahun lalu, sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia meningkat kepada 25.9 peratus.
“Ini menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencatatkan nilai tahunan ekonomi melebihi RM400 bilion iaitu sebanyak RM406.1 bilion pada 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Amirudin menambah pembinaan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) kedua di Cyberjaya bakal meningkatkan nilai ekonomi dan peluang pekerjaan bergaji tinggi terutama kepada generasi muda.
Jelasnya, projek melibatkan kerjasama kerajaan persekutuan yang kini dalam fasa akhir akan menyokong pencapaian nilai eksport lebih RM100 billion menerusi industri berkenaan menjelang 2030.
“Dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kerajaan Tuanku memulakan kerjasama bersama syarikat terkemuka Google melalui produk Gemini dalam konsep Sandbox bagi meningkatkan sistem perkhidmatan kerajaan serta nilai dan kebolehupayaan syarikat pemula di Selangor.
“Seperti yang sering patik tekankan, penting untuk pentadbiran meningkatkan keberkesanan dan kualiti perkhidmatan serta penggunaan teknologi baharu supaya lebih efisien kepada syarikt dan industri yang ingin melabur di Selangor,” katanya.