Oleh Abdul Rahim Sabri
Foto Harun Tajudin dan Ahmad Zakki Jilan
Mulanya, cadangan Persatuan Cina Muslim Malaysia atau Malaysian Chinese Muslim Association (Macma) bagi membina sebuah masjid untuk masyarakat Tiong Hua beragama Islam tidak menepati kehendak Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Baginda tidak berkenan dengan pembentangan kira-kira 30 minit yang dibuat badan bukan kerajaan itu bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor pada 28 November 2018 berkaitan reka bentuknya.
Justeru, Tuanku menitahkan kajian lebih mendalam merangkumi aspek seni bina tradisi yang benar-benar menjiwai masjid di China.
Baginda secara khusus merujuk Masjid Besar Xi’an di wilayah Shaanxi sebagai model.
“Baginda menasihati agar membuat lawatan kajian kes ke Xi’an untuk meneliti reka seni bina (masjid itu) secara asas untuk dizahirkan mengikut konteks (negeri) kita.
“Tuanku memberi arahan yang mudah, jelas dan terbaik, jadi kami tidak teragak-agak (untuk melaksanakannya). Alhamdulillah dengan arahan yang jelas itu, membantu fokus pasukan arkitek lebih mudah,” kata Muhammad Ridha Lua, artikel Masjid Jamek Cina Klang.
Sepasukan teknikal diketuai setiausaha kerajaan negeri ketika itu ke Xi’an dan Guangzhou antara 12 hingga 17 Mac 2019 untuk mengkaji elemen, kualiti ruang, reka bentuk utama masjid itu.
Menurut Muhammad Ridha yang memiliki lebih 25 tahun pengalaman sebagai perunding arkitek, pasukan tersebut melawat lima masjid antaranya Masjid Xiao Xue Xi Xiang, Masjid Daxue Xi Xiang dan Masjid Xian North Guangji Street.
“Hanya Masjid Besar Xian yang paling terpelihara dengan baik. Masjid lama yang dijaga dengan baik dan paling refleks kepada seni bina tradisi Cina,” katanya.
Masjid itu kini berusia 1,282 tahun, antara tertua dan terbesar di China. Ia dibina pada 742 Masihi ketika pemerintahan Dinasti Tang. Strukturnya banyak mengalami pembaharuan dalam beberapa dinasti terkemudian.
Reka bentuk sekarang dibina pada 1384 dalam pemerintahan Dinasti Ming.
Binaannya seluas 12,000 kaki persegi, ada empat bahagian menggabungkan seni bina klasik Cina dan kesenian Islam.
Dua bulan selepas lawatan itu, mereka mempersembah cadangan kedua. Muhammad Ridha mengakui berdebar-debar. Bimbang cadangan pasukannya tidak diperkenan Sultan Sharafuddin.
Mereka membuat persiapan rapi sebelum pembentangan kira-kira sejam pada 7 Mei 2019 di Istana Bukit Kayang di Shah Alam. Pasukan itu turut mempersembah 16 keping gambar reka bentuk masjid hasil kajian kes di Xi’an.
Pembentangan tersebut meliputi sejarah, struktur, ruang serta elemen yang ada pada setiap masjid yang dikunjungi.
“Ketika kami mempersembahkannya kepada Tuanku, Baginda mendengar dengan berhati-hati dan teliti. Kami terangkan satu persatu gambar itu secara sistematik.
“Sangat halus (pemerhatian Baginda) seperti seorang yang memahami tentang seni bina. Baginda amat menghargainya. Baginda menjiwai dan mengambil berat terhadap projek ini.
“Alhamdulillah, Tuanku menunjukkan minat dan sokong projek ini. Kami mendapat perkenan Baginda untuk meneruskan projek ini,” kata Muhammad Ridha.
Ilham Tuanku
Menurut beliau, Sultan Sharafuddin turut meneliti bumbung khas yang dibawa daripada China yang akan dipasang pada dewan solat utama, menara dan satu tembok di luar pintu masuk utama masjid.
Baginda turut memilih warna hijau untuk bumbung tetapi kontraktor tempatan mengakui tidak dapat menyediakan warna asal. Justeru, kelonggaran diberi dengan menggunakan warna kelabu.
Tuanku turut mencadangkan landskap masjid dihiasi pokok sesuai dan konsisten dengan seni bina tradisi Cina serta pemilihan kaligrafi untuk dipasang di masjid.
Baginda berkenan memberi nama Masjid Jamek Cina Muslim Klang dalam sesi pembentangan selama sejam itu.
“Saya bersyukur dan menjunjung kasih atas keprihatinan dan sokongan Tuanku untuk projek ini,” katanya sambil memberitahu Sultan Sharafuddin juga sering bertanya kemajuan pembangunan masjid ini dari masa ke semasa, sejak projek itu mula dijalankan pada 2016.
Akhirnya masjid tanpa kubah itu didirikan atas tanah milik Jais seluas 2.98 ekar di Bandar Botanik, Klang.
Mampu menampung sehingga 1,000 jemaah, rumah ibadah yang siap dibina pada 11 Julai satu-satunya masjid berciri seni bina Cina di Selangor.
Terdapat beberapa persamaan seni bina dan ruang antara masjid Cina di Klang dengan Masjid Besar Xi’an, antaranya kedudukan pintu masuk utama ke ruang lapang berdepan dewan solat utama.
[caption id="attachment_677257" align="aligncenter" width="700"] Teks khutbah terakhir Rasulullah SAW dalam bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Arab turut terpapar di tembok masjid bertentangan pintu masuk utama Masjid Jamek Cina Muslim Klang.[/caption]
Reka bentuk susur tangan daripada bahan granit semula jadi di masjid jamek itu juga hampir sama dengan masjid Xi’an. Perabot juga mengambil rekaan tradisional Cina di sana. Ruang solat utama mampu memuatkan 450 orang. Ia banyak mengguna pakai unsur kayu termasuk mimbar dan dinding.
Tiang-tiang bersaiz sepemeluk turut diletak gegantung kayu tertera nama-nama Allah dalam bahasa Arab. Mihrab pula dihiasi tasbih, tahmid, tahlil dan takbir tulisan kaligrafi Cina. Beberapa potong ayat al-Quran beserta terjemahan dalam bahasa Melayu dan Arab diletak pada dinding yang mengelilingi dewan solat itu.
Teks khutbah terakhir Rasulullah SAW dalam bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Arab turut terpapar di tembok masjid bertentangan pintu masuk utama. Memasuki rumah ibadah itu, tersergam Menara Cahaya Bulan setinggi 18 meter. Atapnya berbentuk ‘hip roof’, berbeza dengan menara masjid di Xi’an yang berbentuk pagoda.
Masjid yang menelan kos RM19.3 juta juga dilengkapi kemudahan antaranya bilik kuliah, bilik mandi jenazah, bilik imam, bilal dan sukarelawan, perpustakaan, kedai cenderamata. Kemudahan untuk wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya juga disediakan.
Secara rasmi, solat maghrib berjemaah pertama kali diadakan pada 22 Ogos manakala solat Jumaat sulung pada hari berikutnya.
Ubah tanggapan
Muhammad Ridha percaya pembinaan itu berupaya memecahkan tanggapan “masuk Islam, masuk Melayu” yang tebal dalam kalangan umat Islam mahupun bukan.
Tertegaknya rumah ibadah itu sedikit sebanyak meluruskan tanggapan sedemikian yang sebenarnya tidak selari dengan tuntutan Islam.
Bahkan, segelintir masyarakat Tiong Hua beranggapan memeluk Islam ibarat membuang keluarga, tradisi dan budaya. Ada juga kalangan umat Islam berpegang kepada sekali masuk Melayu (Islam), tidak boleh patah balik ke keluarga asal.
“Kaum ditentukan sejak lahir, bukanlah pilihan kami. Allah yang tentukan. Masuk Islam bukan hendak jadi Arab atau Melayu. Kami terperangkap dalam situasi ini,” terang beliau.
Menurut Muhammad Ridha, perkara itu ditimbulkan wakil Macma dalam majlis yang dihadiri Sultan Selangor pada 28 Mei 2016.
Baginda bersimpati terhadap dilema yang dihadapi mereka sekian lama dan menyokong usaha membina masjid tersebut.
“Tuanku ada visi iaitu menjadikan masjid sebagai kompleks untuk menggalakkan masyarakat Cina muslim bertemu dan mengadakan kegiatan kemasyarakatan selain menyebar dan berkongsi mesej Islam kepada orang lain,” katanya.
Dalam wawancara pada 5 Disember iaitu hari sama Tuanku menyempurnakan perasmian masjid tersebut, Sultan Sharafuddin mendedahkan Baginda tidak keberatan untuk masyarakat India muslim mendirikan masjid untuk kelompok tersebut di Klang.
“Beta memberitahu mereka yang Beta sedia titahkan Orang Besar Daerah untuk teliti (perkara itu) manakala khutbah yang disediakan boleh diterjemah sebulan sekali ke dalam bahasa Urdu,” titah Baginda yang turut menegaskan masjid harus terbuka kepada semua orang Islam dan pelancong.
“Masjid bukan sahaja harus terbuka kepada orang Cina atau India muslim tetapi semua orang - terutama umat Islam tanpa mengira kaum.’
“Semua dialu-alukan ke masjid kami, kami tidak mahu berpecah-belah, itu bukan caranya,” titah Sultan Sharafuddin lagi.
[caption id="attachment_677260" align="aligncenter" width="700"] Ruang solat Masjid Jamek Cina Muslim Klang.[/caption]
[caption id="attachment_677264" align="aligncenter" width="700"] Pengunjung tertarik melihat labu yang mengandungi surah 1 juzuk ayat al-Quran tulisan tangan pemberian ahli perniagaan China di Masjid Jamek Cina Muslim Klang pada 19 November 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_677266" align="aligncenter" width="538"] Labu yang mengandungi surah 1 juzuk ayat al-Quran tulisan tangan pemberian ahli perniagaan China di Masjid Jamek Cina Muslim Klang pada 19 November 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]