Oleh Norrasyidah Arshad
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tegas dalam memelihara kesucian Islam dari dicemari mana-mana pihak berkepentingan.
Baginda sentiasa memberi teguran dan nasihat dari semasa ke semasa demi memastikan ajaran Islam sebenar ditegakkan selain memartabatkan agama dan meningkatkan syiarnya.
Ketegasan Tuanku terserlah dalam pembongkaran kegiatan dan amalan GISB Holdings (GISBH) yang menyamai ajaran pergerakan al-Arqam yang diwarta sesat.
Sultan Sharafuddin pada 21 September menitahkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor segera meneliti seterusnya memutuskan sama ada amalan GISBH menyeleweng dari ajaran Islam.
Tuanku juga menitahkan pihak berkuasa agama dan polis mengambil tindakan terhadap GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat serta menutup rumah amal dan sekolah agama yang dikawal kelompok itu.
Baginda juga menzahirkan kekesalan terhadap GISBH yang dilihat seolah-olah tidak memahami hak kanak-kanak seminggu kemudian.
Penubuhan jawatankuasa pada 9 Oktober melibatkan pelbagai agensi antaranya Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memulihkan mangsa juga hasil titah Tuanku.
Pada 16 Oktober, Sultan Selangor memperkenan untuk mewarta fahaman, ajaran atau amalan GISBH dan rangkaiannya menyeleweng dari ajaran Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Perkara itu diumum Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang melarang umat Islam beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar atau menyebar ajaran tersebut pada dua hari kemudian.
Sultan Selangor juga menzahirkan rasa dukacita terhadap umat Islam yang mempertikai fatwa daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sedangkan prosesnya dibuat penuh teliti, mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk pakar hukum syarak.
Dalam multaqa bertema Ilmu Tasawwuf Merungkai Masalah Ummah pada 25 November, Baginda juga mencadangkan panduan, sukatan khas atau peraturan khusus pengamalan tasawuf dan tarekat dibuat. Tuanku juga menyokong langkah pihak berkuasa agama mewujudkan undang-undang, pewartaan fatwa dan enakmen berkaitan amalan sedemikian.
“Tindakan penguatkuasaan juga perlu dipertingkat bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di Selangor khususnya,” titah Baginda.
Sepanjang mempengerusi Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) antara 10 Mac 2022 hingga 9 Mac 2024 pula, Sultan Sharafuddin giat memelihara kesucian agama dan menyeru perpaduan umat Islam.
Elak sengketa
Tuanku menegur pihak yang menjadikan isu agama sebagai bahan politik sejak beberapa dekad dan semakin serius kebelakangan ini hingga menyebabkan permusuhan, salah faham serta kekeliruan umat Islam.
“Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama, telah tiba masanya semua umat Islam bersatu. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam.
“Di samping itu pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama,” titah Baginda.
Tuanku turut memastikan kelancaran tugas Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditubuh pada 28 Ogos 2023 untuk meneliti bidang kuasa undang-undang Islam serta memperkasa mahkamah syariah.
“Jawatankuasa ini akan mencadangkan kaedah penyelarasan terbaik untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” titah Baginda pada 15 Februari.
Tuanku juga memberi penekanan kepada empat model pendidikan tahfiz supaya pelajar bukan hanya menghafal tetapi mahir memberi tafsiran tepat terhadap ayat al-Quran. Tuanku juga mahu pengurusan dan pembangunan wakaf diperkemas.
Selain itu, Sultan Sharafuddin menyuarakan kemurkaan terhadap kejadian curi tabung Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada pertengahan tahun ini.
Baginda amat murka terhadap individu yang melakukan perbuatan itu selain menzahir kekecewaan terhadap pengurusan masjid yang gagal melapor kejadian tersebut kepada Jais.
Selain itu, Tuanku tidak putus-putus menyampaikan pesan kepada seluruh rakyat khususnya umat Islam supaya tidak berprasangka buruk sebaliknya menyuburkan toleransi demi keharmonian masyarakat.
Dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Damansara Perdana pada 5 April, Baginda turut mendoakan umat Islam di negeri ini dijauhi daripada perbuatan dilarang agama seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan mencaci.