ad
AGENDA

Polis cekup pasangan kekasih curi tabung derma madrasah, rumah anak yatim

11 Dis 2024, 12:19 AM
Polis cekup pasangan kekasih curi tabung derma madrasah, rumah anak yatim

MELAKA, 11 DiS: Kelicikan sepasang kekasih yang dipercayai aktif mencuri tabung derma diletakkan di kedai-kedai makan, akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang di sini pada 4 Dis lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata supek lelaki berusia 33 tahun dan wanita 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam oleh sepasukan anggota polis hasil risikan dan maklumat orang awam.

"Siasatan awal mendapati kesemua tabung derma dicuri mereka adalah milik madrasah dan rumah anak yatim yang diletakkan di kedai-kedai makan di sekitar Melaka dan Johor.

“Modus operandi mereka adalah dengan pergi ke warung dan kedai makan lalu berpura-pura sebagai wakil madrasah, pondok, atau rumah anak yatim untuk mengambil tabung derma,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Christopher berkata pasangan itu dipercayai giat melakukan jenayah tersebut sejak dua tahun lalu dan mula aktif di Melaka sekitar dua bulan kebelakangan ini, dengan anggaran pendapatan sekitar RM250 sehari hasil daripada kegiatan tersebut

Dalam serbuan tersebut, polis menemukan sebanyak 54 tabung derma, sebuah kereta, dan pemotong besi.

"Turut ditemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun hijau disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira lapan gram.

"Hasil tangkapan ini, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka iaitu empat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tiga di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta satu bagi Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Beliau berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik dan pasangan itu direman selama tujuh hari dan akan disambung reman esok untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.