KUALA LUMPUR, 10 DIS: Mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri ditemukan dalam sebuah bagasi di tepi jalan di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 11.45 pagi berhubung penemuan sebuah bagasi berbau busuk di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan tersebut.
“Sepasukan polis ke lokasi kejadian bersama pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9). Sebuah bagasi berwarna biru ditemui di lokasi, mengandungi mayat seorang lelaki tanpa sebarang pengenalan diri.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat yang dijangka dijalankan esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat ASP Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.
- BERNAMA