SHAH ALAM, 10 DIS: Syarikat ditubuhkan dari Program Tunas Niaga (PROTUNe) kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya meraih RM31.5 juta nilai jualan dalam tempoh 15 tahun.
Pengurus pembangunan usahawan PKNS berkata nilai direkodkan peniaga dalam kalangan pelajar sekolah menengah sepanjang 2009 hingga tahun ini dianggap membanggakan selain bakal melahirkan usahawan berkemahiran.
“Sepanjang 26 tahun dijalankan, PROTUNe merekodkan pencapaian baik dengan melibatkan 29,300 pelajar serta 2,442 guru pembimbing. Sebanyak 1,182 syarikat berjaya ditubuhkan.
[caption id="attachment_677194" align="aligncenter" width="960"] EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) merasmikan Konvensyen PROTUNe 2024 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 10 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Program ini dapat mencungkil bakat usahawan muda dengan mengasah kemahiran memimpin, kerjasama, dan pemikiran strategik demi mempersiapkan diri mereka pada masa hadapan,” kata Yuzawati Yusof.
Berucap di Konvensyen PROTUNe 2024, beliau berkata tahun ini RM2.6 juta nilai jualan direkodkan dalam tempoh enam bulan melibatkan 1,250 pelajar dari 49 sekolah.
“Ini mencerminkan komitmen dan usaha pelajar dalam menjual produk merangkumi makanan dan minuman, seni kraf tangan, pakaian termasuk khidmat seperti pos, fotografi, dobi, katering dan penghantaran.
“Ini bukan tugas mudah untuk membimbing pelajar memulakan perniagaan. Guru pembimbing memainkan peranan besar dalam membantu pelajar memenuhi modul ditetapkan,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, EXCO Keusahawanan Najwan Halimi turut menyempurnakan acara penyampaian hadiah dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah dipilih pemenang Sekolah Terbaik.
[caption id="attachment_677190" align="aligncenter" width="1246"] Guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah memenangi Anugerah Sekolah Terbaik dalam Konvensyen PROTUNe 2024 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 10 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]