ad
AGENDA

Polis siap sedia hadapi gelombang banjir kedua, bertindak pantas, cekap

10 Dis 2024, 8:31 AM
Polis siap sedia hadapi gelombang banjir kedua, bertindak pantas, cekap

HULU DUNGUN, 10 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga menghadapi gelombang banjir seterusnya, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan beberapa siri mesyuarat di pelbagai peringkat bersama agensi penyelamat lain bagi memastikan tindakan pantas dan cekap sentiasa diambil dalam menjamin keselamatan orang ramai.

"Kita sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi memastikan kita ambil tindakan cepat. Semestinya kesiapsiagaan kita dibantu oleh agensi penyelamat lain seperti APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), pihak bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) serta ATM (Angkatan Tentera Malaysia).

"Kita sudah banyak kali adakan mesyuarat berkaitan persiapan sebelum ini di peringkat Putrajaya, negeri dan daerah semua dah ada,” katanya kepada pemberita pada Program Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir di Balai Polis Kuala Jengai di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya keadaan banjir di satu-satu kawasan sangat getir, anggota penyelamat dari kawasan atau negeri lain akan membantu.

“Contohnya kalau situasi banjir di Terengganu sangat teruk dan keadaan mendesak, kita akan gerakkan anggota penyelamat dari Selangor, namun sepanjang banjir pada Monsun Timur Laut ini kita hanya menggunakan kekuatan yang ada di negeri terbabit tanpa melibatkan negeri lain,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.