Oleh NADIAH ZAMLUS
Sultan Selangor keenam Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj mewakaf istana peribadinya untuk dijadikan Kolej Islam Malaya demi mendidik anak tempatan pelajaran agama.
Istana di Jalan Kampung Jawa, Klang itu sebelumnya didiami keluarga diraja Selangor semasa pemerintahan ayahanda Baginda iaitu DYMM Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah yang mangkat pada 1938.
Dinamai Istana Jemaah sempena nama permaisuri Baginda iaitu Tengku Ampuan Jemaah Raja Ahmad, ia juga dikenali sebagai Istana Bandung kerana reka bentuknya sama di anjung kiri dan kanan.
Kawasan sama turut menempatkan Istana Kota Negara untuk Permaisuri Sultan Alaeddin iaitu Tengku Ampuan Zabedah bersemayam, Istana Anjung (persemayaman isteri Sultan Hisamuddin iaitu Che Anjung Negara) dan Istana Hijau (persemayaman adinda Sultan Hisamuddin yang menjadi Permaisuri Sultan Brunei ke-27 iaitu Tengku Raihani).
[caption id="attachment_677093" align="alignleft" width="389"] Kurator Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Faisal Surani.[/caption]
Menurut Kurator Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Faisal Surani, Istana Jemaah juga pernah menjadi persemayaman anakanda Sultan Hisamuddin iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
"Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga diputerakan di Istana Jemaah pada 24 Disember 1945,” katanya kepada Selangorkini pada 3 Disember.
Pengorbanan Baginda menyerahkan kepentingan peribadinya menjadi kolej agama di tanah seluas 14.3 ekar itu detik bersejarah perkembangan sistem pendidikan Islam. Kisah itu dimuatkan dalam akhbar Singapore Standard pada 10 September 1950 bertajuk Offers Palace For Muslim College (Tawaran Istana Untuk Kolej Islam).
Kolej tersebut memulakan sesi pengajian membabitkan 43 pelajar pada 24 Februari 1955. Sultan Hisamuddin yang membawa maksud pedang agama merasmikannya pada 8 April 1955. Tuanku juga sentiasa mengikuti rapat perkembangan kolej berkenaan.
Pendidikan Islam
Dalam buku berjudul Sultan Hisamuddin ‘Alam Shah al-Haj: Payung Kema‘muran Negeri Selangor karangan Muhamad Adha Abd Jalil ada menyebut Baginda tidak berpuas hati kerana keseluruhan pelajaran di situ “tidak merupakan pelajaran Islam pada pokoknya”.
“Tuan-tuan janganlah menyangka bahawa Tuanku berpuas hati dengan pelajaran-pelajaran di Kolej Islam Malaya. Mata pelajaran di kolej itu masih belom memuaskan hati Baginda,” kata mufti yang tidak dinamakan, dipetik dalam naskhah tersebut.
[caption id="attachment_677135" align="aligncenter" width="687"] Gambar Istana Jemaah pada tahun 1930[/caption]
Buku berkenaan juga menyebut jasa mewakaf istana dan kesungguhan Baginda dalam membangunkan pendidikan Islam melahirkan pelajar yang sama tinggi taraf pelajarannya dengan Universiti al-Azhar di Mesir.
Pengajian di kolej itu kemudian berpindah ke Petaling Jaya pada 19 Mac 1965. Bangunan tersebut disewa kepada kementerian pendidikan sebagai Sekolah Menengah Agama Berpendidikan Penuh pertama di negara ini.
Pada 1968, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mengumumkan Kolej Islam Malaya akan dinaik taraf sebagai universiti Islam pertama di Asia Tenggara. Namun, hasrat itu tertangguh untuk memberi laluan kepada penubuhan sebuah universiti kebangsaan.
Hanya 45 tahun kemudian, barulah Universiti Islam Malaysia didaftar secara rasmi sebagai universiti penuh pada 14 Julai 2014. Kolej Islam Malaya diberi perkenan untuk dinamai sebagai Universiti Islam Malaysia.
Menurut kurator MBDK, Istana Jemaah telah diroboh dan tinggal bangunan induk yang menjadi pusat pentadbiran Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas). Tapaknya juga kini dijadikan asrama puteri dan dewan Kisas.
Walaupun Kisas tanggungjawab kementerian pendidikan, MBDK sentiasa memantau monumen warisan bersejarah dalam Klang.
“Terbaru, Kisas memohon bantuan MBDK untuk membangunkan Galeri Sejarah Kisas dan sebagai kurator, saya diminta untuk memberi bantuan dan kerjasama kepada Kisas,” kata Faisal.
[caption id="attachment_677111" align="aligncenter" width="586"] Istana Jemaah pada pertengahan tahun 1970 hingga 1980 an[/caption]