SHAH ALAM, 9 DIS: Hasil kutipan kadar baharu cukai taksiran dimanfaat bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan awam yang meningkat saban tahun, kata EXCO kerajaan tempatan.
Dato’ Ng Suee Lim berkata hasil cukai taksiran juga akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan bagi memastikan kawasan kediaman kekal selesa, bersih dan selamat untuk didiami.
[caption id="attachment_676987" align="aligncenter" width="815"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika sidang media berkenaan kadar baharu cukai taksiran 2025 di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 9 Disember 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Sebagai negeri yang pesat membangun, Selangor menawarkan pelbagai kemudahan awam seperti jalan raya, pencahayaan, taman rekreasi, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
“Namun begitu, dengan kos penyelenggaraan yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk menyemak semula cukai taksiran dan ini bukan keputusan yang diambil secara mudah,” katanya menerusi rakaman video yang disiar di laman facebook, hari ini.
Menurut Suee Lim, Kerajaan Negeri menetapkan tidak melebihi 25 peratus daripada cukai taksiran semasa dengan pemberian diskaun sehingga 75 peratus kepada pemilik harta.
Tambahnya, bagi pegangan yang berlaku perubahan masa atau bangunan, ia akan dinilai berdasarkan nilai sebenar di tapak.
“Cukai yang kita bayar hari ini adalah pelaburan untuk generasi akan datang agar mereka dapat menikmati kemakmiran dan kesejahteraan yang kita usahakan bersama,” katanya.
Sebelum ini, Media Selangor melaporkan lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu.
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.
Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.