ad
AGENDA

Vietnam cabaran terbesar Harimau Malaya tempah slot ke Piala Asia 2027

9 Dis 2024, 9:15 AM
Vietnam cabaran terbesar Harimau Malaya tempah slot ke Piala Asia 2027
Vietnam cabaran terbesar Harimau Malaya tempah slot ke Piala Asia 2027

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Vietnam menjadi ancaman terbesar Malaysia dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2027 selepas diundi bersama dalam Kumpulan F saingan pusingan ketiga kelayakan kejohanan itu yang dijadual bermula Mac tahun depan.

Dalam majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil di sini hari ini, turut diundi dalam kumpulan sama adalah Nepal dan Laos.

Berdasarkan ranking dunia, Vietnam berada di kedudukan ke-116, Malaysia (132), Nepal (175) dan Laos ke-186.

Hanya juara setiap kumpulan akan mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027.

[caption id="attachment_677044" align="aligncenter" width="815"] Malaysia diundi bersama Vietnam, Nepal, Loas dalam Kumpulan F saingan pusingan ketiga kelayakan kejohanan Piala Asia 2027. Foto Facebook HarimauMalaya[/caption]

Vietnam ketika ini mengalami kemerosotan prestasi apabila merakam sembilan kekalahan serta masing-masing satu kemenangan dan seri dalam semua pertandingan tahun ini, sekali gus memberi peluang besar kepada pasukan negara untuk menamatkan saingan kumpulan di kedudukan teratas.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod pertemuan dalam semua pertandingan sejak 2016, Malaysia tewas tujuh dan seri satu dalam lapan pertemuan terakhir menentang Vietnam dengan kali terakhir pasukan negara meraih kemenangan adalah pada Disember 2014.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023, terlepas untuk mengesahkan tempat lebih awal bagi edisi 2027 selepas terkandas dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang berakhir Jun lepas.

Sementara itu, Thailand diundi bersama Turkmenistan, Taiwan dan Sri Lanka dalam Kumpulan D manakala India berdepan cabaran Hong Kong, Singapura dan Bangladesh dalam Kumpulan C.

Saingan kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2027 akan dijalankan secara timbal balik.

Piala Asia 2027 dijadual berlangsung di Arab Saudi.

Berikut merupakan keputusan penuh undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027:

  • Kumpulan A: Tajikistan, Filipina, Maldives, Timor-Leste
  • Kumpulan B: Lubnan, Yaman, Bhutan, Brunei
  • Kumpulan C: India, Hong Kong, Singapura, Bangladesh
  • Kumpulan D: Thailand, Turkmenistan, Taiwan, Sri Lanka
  • Kumpulan E: Syria, Afghanistan, Myanmar, Pakistan
  • Kumpulan F: Vietnam, Malaysia, Nepal, Laos

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.