SHAH ALAM, 9 DIS: Pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah di Selangor diteruskan bagi tahun kesepuluh tahun depan, kata EXCO kerajaan tempatan.
Dato’ Ng Suee Lim menjelaskan pengecualian tersebut membabitkan nilai berjumlah RM60 juta yang sepatutnya dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Berita baik untuk pemilik rumah kos rendah, kita akan teruskan pengecualian cukai taksiran pada tahun depan,” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah diperkenal Kerajaan Negeri sejak 2016 membabitkan kira-kira 500,000 unit kediaman di semua PBT.
[caption id="attachment_676993" align="alignleft" width="395"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato' Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika sidang media berkenaan kadar baharu cukai taksiran 2025 di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 9 Disember 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Suee Lim berkata sebanyak 2,869 rumah dalam kampung tradisi menerima pengecualian cukai taksiran selepas Selangor memperkenal pengecualian bersasar awal tahun ini.
Bagaimanapun, menurutnya, jumlah itu masih rendah berbanding sasaran 5,000 kediaman yang ditetapkan.
“Kita harap ketua kampung dan wakil rakyat turun padang dan bantu penduduk kampung buat permohonan pengecualian. Kita mahu bantu ramai lagi, terutamanya mereka yang tidak berkemampuan,” katanya.
Bermula Januari lalu, Kerajaan Selangor melaksanakan pemberian pengecualian cukai taksiran bagi kediaman kampung secara bersasar.
Sebelum ini, ia diberikan secara automatik bagi tempoh lapan tahun membabitkan jumlah RM91.49 juta daripada 745,790 unit rumah di seluruh Selangor.