ad
BERITA UTAMA

EXCO: Projek pendalaman, pulihara Sungai Klang dijadual siap tempoh lima tahun

8 Dis 2024, 1:00 PM
EXCO: Projek pendalaman, pulihara Sungai Klang dijadual siap tempoh lima tahun

SUBANG JAYA, 8 DIS: Projek pemulihan Sungai Klang membabitkan kerja pembersihan, pendalaman dan pelebaran dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata ketika ini projek berkenaan sedang dilaksanakan di blok tiga membabitkan kawasan di sekitar Taman Sri Muda dan Kota Kemuning.

“Projek pemulihan Sungai Klang ambil masa lima tahun lagi untuk selesai. Sekarang ini sedang dibuat di blok tiga dan akan diteruskan ke kawasan lain.

“Kita jumpa sampah yang sangat banyak. Daripada empat meter kedalaman sungai, tiga meter adalah sampah sahaja. Sampah adalah seperti kereta buruk, almari, katil dan macam-macam lagi,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui selepas meninjau program inisiatif tangkapan ikan pleco dengan tawaran RM1 bagi setiap kilogram di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan di sini, hari ini

Projek pemuliharaan Sungai Klang terdiri daripada tiga komponen kejuruteraan utama iaitu reka bentuk (analisis hidrologi dan hidraulik, kerja pembaikan tebing dan perlindungan cerun, termasuk keperluan benteng banjir), pembinaan dan penyelenggaraan susulan.

Projek dengan anggaran kos bernilai RM700 juta meliputi 12 zon menerusi empat blok utama kawasan titik panas banjir sekitar kawasan sungai bermula dari Mid Valley di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.