ad
AGENSI

Raja Muda seru graduan manfaat kepakaran, bangun masyarakat mampan

8 Dis 2024, 8:00 AM
Raja Muda seru graduan manfaat kepakaran, bangun masyarakat mampan
Raja Muda seru graduan manfaat kepakaran, bangun masyarakat mampan
Raja Muda seru graduan manfaat kepakaran, bangun masyarakat mampan
Raja Muda seru graduan manfaat kepakaran, bangun masyarakat mampan

SERDANG, 8 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor menyeru alumni Putra Business School (PBS) memanfaatkan kepakaran dalam bidang pengurusan dan perniagaan untuk membangun masyarakat mampan.

Tengku Amir Shah yang juga Canselor PBS yakin masyarakat mampan mampu mendepani cabaran yang sentiasa berubah termasuk iklim, gangguan teknologi dan ketidaktentuan geopolitik.

“Beta yakin anda akan mencipta kejayaan sebagai profesional dengan menerapkan ilmu dan nilai yang telah anda pelajari di sini,” titah Baginda pada Majlis Konvokesyen PBS 2024 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

[caption id="attachment_676866" align="aligncenter" width="811"] Raja Muda Selangor Tengku Amir yang juga Canselor Putra Business School (PBS) menyampaikan anugerah graduan terbaik di Majlis Konvokesyen PBS di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 8 Disember 2024.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR.[/caption]

Tengku Amir Shah bertitah PBS telah mencapai pelbagai pencapaian yang mencerminkan kualiti unggulnya serta usaha berterusan untuk memenuhi keperluan dunia perniagaan moden yang sentiasa berubah.

“Beta amat berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa yang diterima (PBS) sebagai Sekolah Perniagaan Terbaik Malaysia, dengan program MBA (Sarjana Pengurusan Perniagaan) menduduki tempat pertama di Malaysia dan ke-23 di Asia.

“Pengiktirafan ini merupakan penghormatan kepada seluruh komuniti PBS. Selain itu kerjasama baharu PBS dengan institusi antarabangsa, memperluas jaringan dan pelajar kini mempunyai akses kepada rangkaian lebih luas, pengetahuan terkini dan platform global untuk bertukar idea serta perspektif,” titah Baginda.

Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS Prof Dr Azmawani Abd Rahman berkata melangkah ke hadapan, PBS kekal teguh dengan misi strategiknya untuk melahirkan pemimpin perniagaan yang berdaya tahan dan bertanggungjawab selain mampu mengemudi landskap global yang semakin kompleks.

[caption id="attachment_676871" align="aligncenter" width="812"] Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS Prof Dr Azmawani Abd Rahman menyampaikan ucapan di Majlis Konvokesyen Putra Business School di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 8 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR.[/caption]

“Kurikulum kami berteraskan nilai menyeluruh, sejagat dan cemerlang sejajar Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan Kerangka Ekonomi Madani.

“Kami menerima akreditasi bertaraf antarabangsa termasuk daripada Association to Advance Collegiate School of Business (AACSB) International selain mempunyai hubungan kukuh dengan industri di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, Tengku Amir mengurniakan ijazah kepada 204 graduan peringkat Doktor Falsafah (PhD), Sarjana Sains (MSc), Sarjana Pengurusan Perniagaan dan Sijil Lepasan Ijazah Pentadbiran Perniagaan.

[caption id="attachment_676865" align="aligncenter" width="810"] Suasana Majlis Konvokesyen Putra Business School yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM)pada 8 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR.[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.