SHAH ALAM, 8 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan kewangan RM344,400 kepada 574 keluarga yang terjejas banjir.
Agensi itu memaklumkan daripada jumlah itu, RM270,600 disalurkan kepada asnaf gharim manakala asnaf miskin (RM44,400), asnaf fakir (RM28,200) dan asnaf muallaf (RM1,200).
“Setiap keluarga menerima bantuan RM600 bagi ringankan beban mangsa yang terkesan dalam tempoh Oktober hingga November.
“Jazakumullahu khairan kepada pembayar yang terus-menerus membantu kami dengan menunaikan zakat,” katanya menerusi Facebook.
Tambah LZS, bantuan diagih mengikut empat kategori iaitu asnaf gharim melibatkan 451 ketua keluarga diikuti asnaf miskin (74 ketua keluarga), asnaf fakir (47 ketua keluarga) dan asnaf muallaf (2 ketua keluarga).
Sebelum ini, LZS optimis mengutip zakat lebih RM1.22 bilion tahun ini bagi membolehkan pihaknya membantu lebih ramai asnaf dan golongan terjejas.
Ketua Pegawai Operasinya Ahmad Fadhil Hassan menyeru orang ramai terus melunaskan zakat sekali gus membantu pihaknya mengutip RM400 juta lagi bagi mencapai sasaran kutipan tersebut.