ad
AGENDA

870 peket minyak masak disita, disimpan melebihi masa ditetapkan

8 Dis 2024, 4:00 AM
870 peket minyak masak disita, disimpan melebihi masa ditetapkan

IPOH, 8 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 870 kilogram (kg) minyak masak peket dan 87kg minyak masak botol pelbagai jenama yang disimpan melebihi had ditetapkan di sebuah rumah kedai dua tingkat di Sitiawan semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dilakukan kira-kira pukul 1.30 petang setelah menerima aduan awam yang mendakwa terdapat aktiviti penjualan minyak masak peket 1kg secara borong.

"Jumlah minyak masak yang ditemukan itu melebihi had yang dibenarkan dalam lesen. Seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun mengaku sebagai pemilik premis itu, dan akur serta faham tindakan yang dilaksanakan oleh KPDN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan mendapati kedai runcit itu mempunyai Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) bagi gula, minyak masak dan tepung gandum yang masih sah, dengan had kuantiti simpanan 500kg bagi setiap jenis barang kawalan itu.

Sehubungan itu Kamalludin berkata satu tindakan kes telah diambil kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1961 iaitu peruncit memiliki barang kawalan melebihi had yang dibenarkan Pengawal di dalam lesen.

"Semua minyak masak itu disita, dengan nilai sitaan dianggarkan RM4,567.50," katanya.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.