SHAH ALAM, 7 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menawarkan pembiayaan khas RM3,000 kepada peserta Platform Selangor (U-PLATS) yang memerlukan modal tambahan dalam perniagaan.
“Berita baik untuk peserta U-PLATS! Kerjasama antara PLATS dan Hijrah Selangor kini menawarkan pembiayaan khas RM3,000 kepada peserta Program U-PLATS.
“Untuk maklumat lanjut imbas kod QR (poster di bawah), hubungi kami di Facebook, Instagram, atau layari hijrahselangor.com,” maklum agensi itu di Facebook.
Hijrah Selangor turut menyediakan Skim i-Bisnes dan Niaga Darul Ehsan (NaDi) kepada usahawan kecil di negeri ini. Skim tersebut menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000.
Pada 11 September, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor berkata pihaknya meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Jelas Dato’ Mearia Hamzah, pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.
Sebelum ini Mearia memaklumkan pihaknya meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun ini.