ad
AGENDA

MB: PBT diarah kesan kilang haram, pemilik berdepan tindakan tegas

7 Dis 2024, 1:00 PM
MB: PBT diarah kesan kilang haram, pemilik berdepan tindakan tegas

GOMBAK, 7 DIS: Kerajaan Negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengesan pemilik kilang tanpa kebenaran (KTK) yang belum menyertai program pemutihan.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya telah memberi tempoh untuk menyertai program pemutihan dan tindakan tegas akan dikenakan jika masih ada kilang yang ingkar arahan tersebut.

"Saya keluarkan arahan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang lalu. Semua pemilik kilang tertakluk di bawah Pematuhan Syarat Dan Penguatkuasaan KTK Selangor Tahun 2025-2027.

“Usaha pembasmian kilang haram telah dijalankan sejak 2009. Sebelum ini negeri memikirkan rakyat yang berkerja di kilang terbabit, kalau kita hanya memikirkan pemilik sahaja sudah lama tindakan diambil.

"Namun, 20 insiden pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) telah berlaku hingga tiga daripadanya menyebabkan henti tugas. Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur lagi dengan operasi kilang tanpa kebenaran,” tegasnya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Alam Sekitar 2024 peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Awam Batu Caves di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri melaksanakan usaha yang pelbagai bagi menangani isu pencemaran air khususnya melalui pelaksanaan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang dijadual siap dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut mewartakan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS). Saya percaya melalui ZDP, semua pihak akan lebih bertanggungjawab kerana mereka terpaksa membayar kos yang tinggi jika melepaskan sisa efluen,” ujarnya.

Ditanya mengenai insiden pencemaran air di Sungai Kuang, Amirudin memberitahu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diarah melaksanakan operasi bersepadu terhadap kilang di kawasan itu.

“Tarikh operasi saya tak boleh dedahkan dan kita hargai dapatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span),” katanya ringkas.

Terdahulu, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan MPS menyelaraskan operasi penguatkuasaan undang-undang bersepadu terhadap semua kilang di kawasan itu.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.