GOMBAK, 7 DIS: Sejumlah RM6 juta diperuntuk bagi melaksanakan program kutipan alam sekitar di 12 pihak berkuasa tempatan di negeri ini.
Dato’ Menteri Besar berkata setiap PBT akan menyediakan 100 tempat pengasingan sampah kitar semula menjadikan jumlah keseluruhan tapak sebanyak 1,200.
“Setiap tapak dibekal tong sampah dan sistem kutipan. Dana untuk program ini adalah hasil kutipan caj beg plastik berjumlah RM20 juta. Ini antara usaha yang dilakukan untuk mendidik orang ramai mengenai pengasingan sampah.
“Selangor akan berkerjasama dengan Nestle laksana program ini, yang merupakan syarikat konsisten melakukan aktiviti kitar semula,” kata Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Alam Sekitar 2024 peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Awam Batu Caves di sini, hari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua MPS Shahman Jalaludin berkata karnival bertujuan memberi kesedaran awam mengenai kepentingan amalan kitar semula dan menerapkan budaya 3R (mengurangkan, guna semula, kitar semula).
“Karnival ini bertindak sebagai platform untuk MPS berinteraksi secara terus dengan masyarakat dalam memberikan perkhidmatan perbandaran yang terbaik.
“Selain itu, MPS membuka kaunter “Tangkap dan Bayar” bagi Program Basmi Tikus. Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah pertandingan mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan percuma dan jualan kendera saji,” ujarnya.
[caption id="attachment_676711" align="alignnone" width="692"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat pameran selepas melancarkan Karnival Alam Sekitar Majlis Perbandaran Selayang di Padang Awam Taman Batu Caves, Gombak pada 7 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]