GOMBAK, 7 DIS: Lebih 5,000 orang berkunjung ke Jualan Termurah Madani peringkat Parlimen Gombak yang diadakan di Tapak Pasar Malam Taman Pinggiran Batu Caves di sini hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program bermula jam 8 pagi itu turut diadakan Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri sejak tahun 2022.
“Jualan Termurah Madani merupakan inisiatif baharu di bawah Kerajaan Persekutuan manakala JER pula adalah usaha Kerajaan Selangor untuk membantu rakyat mendapatkan bekalan barangan keperluan asas pada harga sangat murah sejak 2022.
[caption id="attachment_676680" align="aligncenter" width="705"] Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena peluncuran serentak Jualan Ehsan Rahmah dan Jualan Termurah Madani di Tapak Pasar Malam, Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 7 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Ini merupakan gabungan jualan menarik yang saya rasa merupakan satu contoh sebuah kerajaan perpaduan yang stabil dapat diwujudkan, satu dasar konsisten dapat dilaksana sekali gus keberkesanan itu sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Serentak Jualan Termurah Madani peringkat Zon Tengah Parlimen Gombak.
Difahamkan, peluncuran sama turut diadakan membabitkan Zon Utara di Parlimen Permatang Pauh yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parlimen Sungai Petani manakala Zon Selatan di Parlimen Port Dickson.
Antara barangan yang dibawa menerusi jualan hari ini adalah barangan basah seperti ikan, ketam, sotong sebanyak lima tan diikuti ayam 1,000 ekor, telur (900 sarang) dan beras 5 kilogram (900 kampit).
Sementara itu, seorang pembeli Junaidah Ismail, 40, menyambut baik dengan jualan murah inisiatif kerajaan itu yang disifatkan sangat menjimatkan perbelanjaan barangan dapur.
[caption id="attachment_676678" align="aligncenter" width="717"] Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena peluncuran serentak Jualan Ehsan Rahmah dan Jualan Termurah Madani di Tapak Pasar Malam, Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 7 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Harga memang sangat berbeza kalau dibandingkan dengan pasaran luar. Hari ini saya beli dua sarang telur, ayam, beras dan beberapa lagi barangan lain harga tidak sampai RM200. Jimat sangat,” katanya.
R Puspadewi, 45, pula berharap jualan itu berterusan dan diadakan lebih kerap memandangkan kos sara hidup ketika ini sangat tinggi dan ramai memerlukan barangan pada harga murah.
“Sebenarnya, bila ada peluang jualan murah seperti ini sedikit sebanyak sangat melegakan kami golongan berpendapatan rendah ini. Puas hati dapat beli barangan keperluan hari ini termasuk barangan basah,” katanya.