ad
AGENDA

Pandu ketika mabuk, penjual kereta terpakai dipenjara, denda RM10,000

6 Dis 2024, 10:15 AM
Pandu ketika mabuk, penjual kereta terpakai dipenjara, denda RM10,000

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Seorang penjual kereta terpakai dihukum penjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta dalam keadaan mabuk, tahun lepas.

Majistret Haneefa Ariffin menjatuhkan hukuman itu ke atas S Yagesh, 27, memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh akan dipenjara lima bulan.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung untuk dua tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu kereta dengan kandungan alkohol dalam badannya sebanyak 160 miligram (mg) / 100 mililiter (ml) darah iaitu lebih 110 mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50 mg alkohol dalam 100 ml darah di Jalan Ara di sini pada 2.35 pagi, 10 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dari tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Salsabila Mohammad memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh manakala peguam Charanpal Singh mewakili Yagesh memohon hukuman rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.